TYCO mencipta sejarah tersendiri dalam industri hiburan tempatan selaku artis animasi 3D pertama diwujudkan di Malaysia pada 2000.
Malah, Tyco yang dianggota oleh Tylo, Yiko dan Psylo itu juga turut mendapat mendapat pengiktirafan daripada organisasi Malaysia Book of Records (MBR).
Selepas lebih 20 tahun menyepi, Tyco kini kembali tetapi tidak lagi dalam bentuk animasi dan kini muncul dalam bentuk fizikal.
Datuk Norman Abdul Halim yang pernah menjadi individu belakang tabir kumpulan Tyco berkata, modal penerbitan animasi bukannya murah kerana memerlukan kos biaya yang tinggi.
TYCO satu ketika dahulu pernah mendapat perhatian daripada peminat muzik tempatan.
"Bahkan masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu karya seperti itu juga bukan sekejap, memang lama berbanding naskhah sebenar.
"Jadi, mengambil kira faktor-faktor tersebut, saya selaku pengurus Tyco membuat keputusan untuk tampil di dunia realiti dengan mengenakan topeng muka.
"Apatah lagi dalam keadaan negara dilanda pandemik, rakyat telah membudayakan pemakaian face mask (pelitup muka) dan penampilan baharu Tyco ini amat sesuai dengan situasi semasa," katanya.
Namun jelas Norman, tidak semestinya penampilan Tyco tidak akan kembali semula kepada bentuk asal (3D) biarpun kini berimej baharu.
Terkini, sekali lagi figura manusia Tyco dimunculkan sempena penghasilan single baharu KRU Music berjudul Rise Up hasil ciptaan Si8 atau Syed Hazriq, manakala lirik ditulis oleh Roman.
Menyentuh tentang Rise Up, kata Norman, single tersebut boleh dianggap sebagai sebuah lagu pemangkin semangat sementelah melihat nasib ramai rakyat Malaysia yang jatuh dilanda pandemik Covid-19.
"Lebih menarik, lagu ini juga menggabungkan tiga penyanyi rap iaitu DJ Fateh dan Roman selain Tyco sendiri," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram