'Sebelum pilihan raya malam pun sanggup datang, sekarang banjir boleh tolong ke?'


  • Tular
  • Ahad, 26 Dis 2021

TANGKAP layar video tular ketika seorang penduduk memarahi Ganabatirau, berikutan tidak berpuas hati atas pengurusan banjir di kawasannya.

GARA-GARA tidak berpuas hati dengan pengurusan banjir yang menimpa kawasannya, seorang penduduk bertindak memaki hamun seorang wakil rakyat dari DAP.

Menerusi video tular di media sosial, lelaki berkenaan memarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau sambil disaksikan oleh orang ramai.

Dalam kejadian, Ganabatirau dilihat tidak mahu meneruskan pertengkaran itu serta mendakwa bahawa beliau sudah lima hari turun padang meninjau kawasan banjir.

Menganggap ADUN itu tidak melaksanakan tugasnya dengan baik selain hanya turun padang meninjau keadaan rakyat sebelum pilihan raya, lelaki itu tampil membidas semula dakwaan Ganabatirau.

"Sebelum air naik (banjir) saya dah ada dekat sini. You (Awak) dulu macam pengemis.

"Tengah malam pun datang minta tolong saya. Sekarang you boleh tolong orang kampung ke?" soalnya berang.

Terdahulu, Ganabatirau pada minggu lalu meninggikan suara setelah kecewa dengan bantuan kepada mangsa banjir yang didakwa sampai lewat selain ada mangsa yang masih terkandas.

"Bantuan sangat lambat, bukan sahaja daripada kerajaan Persekutuan bahkan kerajaan negeri juga. Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa, tapi ini realitinya.

"Apabila saya tanya, mereka kata sukar nak masuk sebab jalan tak boleh diakses. Tapi, kenapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) boleh sampai ke sini dan agihkan bantuan?

"Sukarelawan yang banyak bantu mengagihkan makanan kepada mangsa. Saya juga keluarkan wang sendiri beli makanan untuk mangsa yang terlibat," jelasnya.

Kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir sejak Jumaat minggu lalu.

Sejumlah 321 petugas dan pasukan penyelamat digerakkan ke kawasan itu, merangkumi bomba, polis, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan, Pejabat Daerah Petaling, Skuad Bantuan Krisis MCA dan badan bukan kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram