Jaga batasan pergaulan di tempat kerja


  • Mukmin
  • Isnin, 27 Dis 2021

BATAS pergaulan perlu dijaga sama ada seseorang individu berstatus bujang ataupun sudah berkahwin. — Gambar hiasan

HUBUNGAN pergaulan di tempat kerja yang tidak terkawal di antara lelaki dan wanita berupaya menimbulkan fitnah yang mengundang kepada zina, kata Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Menerusi laman Telegram, Ahmad Sanusi berkata, batasan pergaulan perlu dijaga tidak kira sama ada seseorang individu berstatus bujang ataupun sudah berkahwin.

Hal ini kerana, katanya, hati manusia boleh berubah untuk cenderung melakukan maksiat.

Secara umumnya, beliau berkata, Rasulullah SAW sangat memelihara batas pertemuan antara lelaki dan perempuan.

Katanya, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW dilihat akan duduk seketika setelah selesai solat bagi memberi ruang kepada kaum wanita supaya beredar dahulu setelah solat.

"Perkara ini dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah bagi mengelakkan percampuran atau perselisihan antara lelaki perempuan yang mungkin berlaku setelah selesai solat," katanya yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Menurut al-Imam Abu Daud, Baginda SAW juga pernah mengkhususkan satu pintu khas bagi wanita bagi mengelakkan percampuran berlaku antara lelaki dan wanita.

Sabda Rasulullah SAW: "Alangkah baiknya sekiranya kita biarkan pintu ini dikhususkan untuk wanita sahaja. Berkata Nafi (anak murid Ibn Umar), setelah mendengar kata-kata Rasullah SAW itu, Ibn Umar tidak pernah memasuki pintu itu sehinggalah beliau meninggal,”Hadis Riwayat Abu Daud.

Sementara itu, Abu Said al-Ansari pernah mendengar hadis Rasulullah SAW, yang menasihatkan para wanita supaya mengasingkan sedikit laluan perjalanan mereka ketika melalui jalan bagi mengelakkan fitnah yang mungkin berlaku.

Sabda Rasulullah SAW: "Lewatkan (jauhkan) sedikit laluan kamu, janganlah kamu berjalan dipertengahan jalan (sehingga bercampur lelaki wanita),"Hadis Riwayat Abu Daud.

Pada masa sama, Ahmad Sanusi berkata, individu yang berurusan dengan masjid pada andaian orang ramai adalah golongan yang mempunyai hati yang baik.

Namun, katanya, walaupun dalam keadaan iman atau hati yang baik di masjid, Rasulullah SAW tetap bertegas mengasingkan mereka kerana dibimbangi akan ditimpa fitnah.

"Bayangkan, kalau di masjid dalam keadaan nak beribadah dengan suasana yang baik ini pun boleh terdedah dengan fitnah, maka apatah lagi dalam suasana di tempat kerja. Batasi pergaulan kita.

"Usah bergurau dengan gurauan “orang kahwin” yang melampau. Bermula dari cetusan yang sedikit, syaitan berupaya membisikkan godaan zina yang memusnahkan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram