Polis tahan penjawat awam disyaki samun, rogol dua beradik di Manjung


  • Berita
  • Ahad, 26 Dis 2021

SEMAKAN mendapati suspek bertugas di Sarawak dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

POLIS menahan seorang penjawat awam yang disyaki menyamun dan merogol dua beradik di kawasan belukar tepi jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar, Manjung, Perak pada tengah malam Selasa lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa wanita berusia 20 dan 37 tahun itu, menaiki sebuah motosikal untuk pulang ke rumah sebelum ditahan oleh suspek yang turut menaiki motosikal di laluan itu kira-kira pukul 12.05 tengah malam.

"Suspek berusia 21 tahun itu mengugut untuk membunuh mereka menggunakan pisau sekiranya tidak mengikut arahannya, sebelum kedua-dua mangsa dirogol," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Mior Faridalathrash, suspek kemudian ditahan di Ipoh, Perak kira-kira pukul 2.20 petang pada Sabtu bersama pakaian serta kenderaan yang digunakan ketika kejadian.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek bertugas yang di Kota Samarahan, Sarawak dan sedang bercuti di Manjung itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 376 dan 392 Kanun Keseksaan dan penjawat awam itu kini direman selama tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, Penjawat Awam, Rogol, Samun, Ugut Bunuh, Senjata