Dulu kena gelak, kini Ammar usahawan berjaya jual kayu api


MOHAMAD Ammar bersama kayu api yang dijual ke seluruh negara. — Bernama

"SEKADAR mencuba, akhirnya membuahkan hasil yang tidak disangka". Demikian kisah Mohamad Ammar Sobri dengan perniagaan menjual kayu api ‘Unggun By The Shepherd’ yang pada mulanya dibuat secara sampingan.

Anak muda berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang ini menjalankan perniagaan jualan ‘kambing golek’ dan menggunakan kayu api sejak awal 2021, untuk menggantikan arang.

Pada awalnya, beliau menjual kayu api sekadar untuk menampung pendapatan perniagaan ‘kambing perap dan golek’ yang sedikit terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Sebenarnya saya sendiri tidak pernah terfikir akan menjual kayu api ini. Asalnya mahu mencuba menu daging yang berasaskan salai. Sebelum ini, kami menggunakan arang untuk bakar daging tapi kali ini kami cuba menggunakan kayu api.

"Jadi semasa tengah buat menu daging smoked, ada rakan yang tanya kenapa tidak tolong sediakan kayu api untuk orang yang minat dengan aktiviti perkhemahan dan juga mahu membuat barbeku (BBQ). Dari situ saya mula terfikir dan cuba peluang ini ditambah pula saya sekeluarga suka berkhemah," katanya dalam wawancara dengan Bernama di premis perniagaannya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

MOHAMAD Ammar menyusun pelbagai jenis kayu arang yang dijualnya. — Bernama

Beliau turut menjelaskan perbezaan daging smoked yang dihasilkannya berbeza dengan daging salai yang biasa ada dalam pasaran.

"Daging smoked menggunakan kayu api tetapi di’masak di dalam smoker brick atau dalam smoker offset ’ antara 6 hingga 12 jam (bergantung kepada jenis daging) sehingga daging boleh dimakan terus berbanding salai yang perlu dimasak balik sebagao contoh daging salai masak lemak," katanya.

Menurut Mohamad Ammar, 33, beliau kemudian membuat keputusan untuk menjadikan jualan kayu api sebagai satu lagi sumber pendapatannya selepas yakin ia mempunyai potensi dan mensasarkan golongan yang gemar aktiviti perkhemahan serta sukar mendapatkan bahan bakar itu.

"Sekarang ramai yang suka aktiviti perkhemahan dan kebanyakannya tidak tahu cara untuk mendapatkan kayu api. Daripada situ saya terfikir mengapa saya tidak membekalkan kayu api yang mereka perlukan untuk aktiviti perkhemahan, ” katanya.

Bermula daripada cetusan idea, kemudian lahirlah perniagaan menjual kayu api ‘Unggun By The Shepherd’. Untuk perniagaan ini, beliau mempunyai tiga orang pekerja untuk memotong kayu.

"Biasanya pekerja saya akan masuk di kawasan yang hendak dijadikan projek pembangunan semula. Contoh ada kebun getah yang perlu dibersihkan, dan kami akan bersihkan secara percuma dan pokok yang ditebang, kayunya kami ambil sebagai upah.

"Dalam hal ini, kami bekerjasama dengan pihak pemaju, dan kawasan yang dibersihkan adalah untuk projek perumahan, ” jelas Mohammad Ammar, sambil menambah, pihak bertumpu di kawasan sekitar Klang, Selangor.

Pelbagai jenis kayu daripada pokok buah

Kesemua kayu yang dijual Mohamad Ammar kepada pelanggan adalah batang kayu dari pokok yang boleh ditanam semula seperti pokok rambutan, durian, getah, akasia, petai, cempedak, pokok bakau serta leban.

"Kebanyakan kayu yang dijual adalah daripada pokok buah-buahan. Setiap kayu mempunyai kelebihan dan kekurangan. Terdapat dua jenis kategori kayu iaitu ringan atau kayu lembut dan kayu jenis keras.

"Contoh kayu lembut ialah kayu pokok getah dan durian. Manakala kayu keras dari pokok bakau, rambutan, cempedak dan leban. Kayu keras sangat sesuai untuk tahan bara, untuk memasak dan sangat sesuai untuk kegunaan perkhemahan," katanya.

SELAIN kayu api, Mohamad Ammar turut menjual papan pemotong yang dibuat daripada kayu manggis. — Bernama

Kayu yang dijual mempunyai dua saiz, iaitu yang pendek, bersaiz 22.9 sentimeter sementara yang panjang, bersaiz 45.7 sentimeter. Setiap ikat mempunyai 17 batang kayu dengan harga bermula daripada RM20 hingga RM55, bergantung kepada jenis kayu.

Selain kayu api yang dijual kepada pelanggan, Mohamad Ammar turut menghasilkan papan pemotong yang diperbuat daripada kayu manggis yang dijual dengan harga RM100 satu.

Bercakap lanjut mengenai pelanggannya, Mohamad Ammar berkata, selain mereka yang mencari kayu api bagi kegunaan aktiviti perkhemahan serta pengusaha tapak perkhemahan, terdapat juga pelanggan, yang kebanyakannya kaum Cina, mencari kayu untuk kegunaan hiasan.

Berkongsi pendapatannya dalam penjualan kayu itu, Mohamad Ammar berkata beliau mampu meraih antara RM400-RM600 sehari.

Ditertawakan

Menurut Mohamad Ammar, sehingga kini, masih ada yang tidak yakin dengan potensi perniagaan jualan kayu api yang beliau usahakan bersama isterinya, Noremilia Sharmila Nawawi, 33.

"Bila saya cakap saya jual kayu api, ramai yang gelakkan saya. Soalan yang sering diajukan, apa dapat jual kayu api? Ada lagi ke orang di Kuala Lumpur hendak beli kayu api? Ternyata mereka silap. Sebenarnya di Kuala Lumpur masih ada golongan yang memang mencari kayu api.

"Contoh, baru-baru ini datang lima orang pelanggan ke kedai saya mereka mencari kayu api untuk kegunaan majlis kenduri yang berkonsepkan rewang. Mereka perlu banyak kayu api. Selain itu ada juga yang baru berjinak dengan aktiviti perkhemahan. Kita akan kongsi kelebihan kayu yang sesuai digunakan," katanya, sambil

menambah, beliau memulakan perniagaan kayu api dengan modal hanya RM600 untuk membeli sebilah kapak jenama Fiskars yang berkualiti tinggi.

"Jadi apa yang saya nampak perniagaan kayu api ini bukan semata-mata kayu api, banyak lagi boleh dilakukan, bergantung kepada apa yang boleh kita tawarkan kepada pelanggan," katanya.

PERMINTAAN kayu api datang daripada seluruh negara. — Bernama

Menjalankan perniagaan kayu api itu juga memberi peluang kepada beliau untuk pergi ke tapak perkhemahan di seluruh negara termasuk Perak, Terengganu dan Pahang.

"Apa yang menarik dengan perniagaan ini, saya boleh berjalan ke tapak perkhemahan yang saya tidak pernah pergi selama ini, ceruk tempat yang belum pernah saya sampai.

"Saya sendiri yang pergi menghantar tempahan pelanggan bersama isteri ke seluruh negara," katanya yang memperkenalkan "tagline" 'Menghangatkan Camping Anda" kerana kayu api merupakan produk utama untuk memanaskan badan ketika berkhemah apatah di musim hujan.

Selain penghantaran terus kepada pelanggan, kayu api itu turut dijual di laman web Shopee.

Perlu bangkit daripada cabaran

Mohamad Ammar yang juga dibantu oleh isterinya, Noremilia Sharmila Nawawi dalam menjalankan perniagaan kayu api termasuklah jualan atas talian.

Melihat perkembangan penjualan kayu api yang semakin diterima masyarakat, Mohamad Ammar berkata beliau bersyukur membuat keputusan untuk menceburi bidang tersebut pada ketika mengalami kesulitan akibat pandemik Covid-19.

Banyak pengalaman pahit yang beliau lalui sepanjang negara dilanda pandemik berkenaan, antaranya terpaksa menutup kedai makan berkonsepkan ala barat yang diusahakan sejak empat tahun lalu.

Di akhir wawancara, Mohamad Ammar menasihatkan anak muda yang mungkin melalui pengalaman pahit yang sama atau sebarang masalah, untuk bangkit dan tabah menerima sebarang ujian.

"Dengan keadaan yang kita lalui ini, jangan terlalu memilih kerja, jangan cepat putus asa sebab kadang-kadang ada perkara yang datang itu, ia datang dengan ujian. Mesti bijak mencari peluang dan mencuba sesuatu yang baharu untuk diteroka.

"Disebalik ujian, insya-Allah ada ganjaran yang Allah SWT hendak beri yang mungkin mempunyai 1001 kelebihan. Seperti bidang yang saya buat ini, saya tidak pernah sangka bidang ini boleh jana pendapatan luar biasa. Tidak pernah terfikir," jelasnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Inspirasi, Bernama, Kayu Arang, Kayu Api, Jual, Covid-19,