SEMASA tinjauan wartawan Majoriti di Taman Sri Muda, Shah Alam, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 60, datang menghampiri bagi menyuarakan pandangannya berkenaan isu pam air dan pintu air yang dikatakan rosak.
Walaupun pihak kerajaan negeri Selangor menjawab membalas kenyataan mengenai isu itu, namun ramai penduduk masih mempersoalkan kesahihannya.
Pada 21 Disember, kira-kira tiga hari selepas Sri Muda dilanda banjir, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata paras banjir di taman itu surut pada kadar yang lebih perlahan berikutan pintu air yang "tersekat" bertujuan mengawal aliran air ke sungai terdekat.
Terpanggil untuk mengulas jawapan kerajaan negeri, Chan membangkitkan kembali isu tersebut.
Katanya, pihak kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor sepatutnya dapat menyelesaikan masalah itu lebih awal lagi.
"Mereka patut datang cepat untuk baiki pintu yang tersekat itu, pam air pun patut kena tambah lagi, dua mana cukup", tambahnya.
Menurutnya, tindakan membaiki bekalan elektrik dan membawa generator di pintu air itu sememangnya lambat.
Dia mendakwa kerajaan negeri memberikan banyak alasan yang tidak wajar berkenaan isu itu sehingga menyusahkan penduduk sekitar.
"Jika ruang pintu air dibuka lebih besar dan pam air lebih banyak lebih awal, air akan surut lebih laju, mangsa pun boleh balik bersihkan rumah dengan cepat," tambahnya.
Terdahulu, tular di media sosial, seorang lelaki merakam video berhampiran pintu air dan menunjukkan perbezaan paras air di dalam dan di luar kemudahan berkenaan.
Izham Hashim bagaimanapun sekali lagi telah menafikan hantaran video tular itu.
"Masa banjir arus kuat baru ni, dia kena hentam dengan serpihan, kayu, macam-macam. Dia punya shaft tu bengkok. Bukan saja tidak ada penyelenggaraan ke apa, kerosakan masa banjir," katanya kepada media.
"Yang buat video viral tu bukan nak periksa dengan JPS. Dia orang siang malam 24 jam membetulkan benda tu bergilir-gilir. Saya dah bagitau dia orang, jika kita perlu mendapatkan yang baru, kita dapatkan yang baru,
"Cuma untuk membantu mengepam air, kita dah tambah tiga empat pam untuk mempercepat kerja-kerja itu," kata Izham. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram