Tiada tunjuk ajar, jalan berliku, kurang dana antara cabaran sukarelawan banjir


  • Massa
  • Sabtu, 25 Dis 2021

ANTARA sukarelawan yang membantu membersihkan rumah penduduk Sri Muda di Shah Alam.

BANJIR yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor mendorong pelbagai pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang perseorangan untuk bersatu dalam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.

Namun, dalam keprihatinan pihak tersebut membantu mangsa banjir, mereka akui terdapat kesukaran yang dialami sepanjang proses bantuan tersebut termasuk kurang panduan daripada pihak kerajaan.

Perkara itu disuarakan oleh kumpulan sukarelawan daripada parti MUDA.

Timbalan Pengerusi Cawangan MUDA Kuala Langat, Navin Kumar berkata pihaknya masih belum ada pengalaman dalam menguruskan bencana menyebabkan dia dan pasukan berasa sukar untuk membantu mangsa banjir di sekitar kawasan yang terjejas.

"Banjir kali ini adalah pengalaman kami yang pertama dalam menguruskannya dan kami akui pada awalnya sangat sukar untuk melaksanakan proses bantuan itu. Jadi kami sangat perlukan tunjuk ajar dalam menguruskan perkara seperti pengangkutan dan hantar bekalan makanan serta ubatan kepada mangsa.

"Kami berjaya mendapat tunjuk ajar daripada NGO lain dan MUDA Pusat, dan lama-kelamaan kami berjaya melaksanakannya sendiri

"Kami juga menerima logistik pengangkutan seperti bot daripada MUDA Pusat yang mana mereka bawa dua bot itu dari Muar hingga ke kawasan banjir Bukit Canggang, Banting, Selangor," katanya.

Navin berkata, mereka turut mengalami kesukaran untuk menghantar bantuan dan menyelamatkan mangsa di kawasan yang terpencil ekoran tidak mempunyai kenderaan pacuan empat roda.

Bagi, Faisal, 29, sebagai sukarelawan yang tidak mewakili mana-mana NGO, dia bersama empat lagi rakannya mengalami kesukaran dari segi pengumpulan dana namun masalah itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus membantu mangsa banjir.

"Disebabkan kurang dana, kami pada mulanya lebih fokus memberi bantuan ubat-ubatan, lampu solar & rechargeable.

"Tapi dengan bantuan kawan-kawan yang juga kini sudah menjadi satu kumpulan yang sama, kami dapat bekalkan keperluan lain.

"Saya akui masalah pengangkutan sering terjadi kerana banyak kawasan air tinggi yang mana menyukarkan kenderaan pacuan empat roda untuk masuk ke situ," kata Faisal kepada Majoriti.

Kayeilvili Thamilchelvan, wakil NGO AgilamNee Malaysia berkata, kesusahan yang dialami oleh pertubuhan mereka adalah terpaksa melalui jalan yang teruk ketika banjir melanda Negeri Sembilan.

"Jalan yang sangat teruk dan berlumpur menyukarkan proses bantuan dari pihak kami untuk sampai kepada mangsa. Namun, kami masih juga mencuba yang terbaik untuk membantu mangsa-mangsa tersebut," kata sukarelawan wanita itu.

Malah, mereka juga alami kesukaran dari segi pengumpulan dana yang masih belum mencukupi kerana buat masa ini mereka bergantung kepada dana organisasi, duit poket sendiri dan juga sumbangan orang awam.

"Kami cuba menghubungi ahli-ahli Parlimen dan jemput ahli Parlimen tengok keadaan banjir di sekitar Negeri Sembilan.

"Setakat ini hanya Tok Mat, (Datuk Seri Utama Mohamad Hasan) ahli Parlimen Dun Rantau antara yang terawal turun padang melawat keadaan banjir serta memberi sumbangan di sekitar kawasan sana," kata Kayeilvili. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram