PERNIAGAAN mereka baru hendak pulih selepas terjejas akibat penularan Covid-19, tetapi kesemua peniaga di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam terpaksa menanggung kerugian lebih besar ekoran banjir yang melanda kawasan itu Sabtu lepas.
Dengan ditimpa musibah demi musibah, pastinya golongan peniaga ini mengharapkan bantuan dapat disalurkan bagi memulihkan semula perniagaan.
Tapi malangnya ramai pengusaha masih tidak tahu mengenai inisiatif kerajaan walaupun Perdana Menteri mengumumkan pemberian bantuan kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana Malaysia (PMKS) melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut pemilik kedai barangan elektrik Rank, Chin Peng Kean, 47, dia tidak tahu mengenai bantuan bencana untuk mangsa banjir bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang diumumkan oleh pihak kerajaan.
"Kami tidak tahu kerajaan memberi bantuan seperti itu. Kami saja sibuk mengemas kedai selepas banjir, kami tidak mempunyai masa untuk menonton berita," katanya kepada Majoriti.
Peng Kean yang lebih 18 tahun berniaga di Taman Sri Muda, berkata, banjir yang melanda baru-baru ini amat teruk sehingga menyebabkan dia terpaksa menanggung banyak kerugian.
"Banyak barang-barang dalam kedai rosak. Antaranya soket, wayar, kipas siling dan lampu. Kesemua barang yang rosak itu, kami terpaksa tanggung anggaran kerugian sebanyak RM300,000," katanya.
Menurut Peng Kean, barang-barang yang rosak terpaksa dibuang dan tidak boleh dijual kerana boleh mengakibatkan renjatan elektrik kepada pembeli.
Selain itu, pemilik kedai jahit SA Mages Tailoring, Magesvary Dengan, 49, juga senada dengan Peng Kean yang tidak tahu akan kewujudan bantuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri bin Yaakob pada Rabu.
Baginya, bantuan dan pinjaman itu perlu diwar-warkan dengan lebih agresif kepada semua pengusaha industri kecil yang terjejas kerana rata-rata mereka masih sibuk membersihkan rumah dan kedai yang dilanda banjir.
"Bantuan dan pinjaman amat diperlukan sekarang ini. Kami sebagai pengusaha memang tunggu bantuan sebab kejadian banjir ini buat kami terpaksa bermula dari awal.
"Dua tahun kedai kami terjejas akibat Covid-19. Kami baru nak cari semula sumber pendapatan tapi sekarang kena banjir pula.
"Harga sebuah mesin jahit industri sekitar RM3000, mesin jahit biasa pula sekitar RM1500, semua rosak, tak boleh pakai lagi," tambah wanita itu.
Menurutnya, kelima-lima mesin jahit di kedainya rosak selain kain-kain pelanggan terpaksa dibuang kerana tidak boleh digunakan lagi.
Magesvary menganggarkan jumlah kerugian kedai jahitnya adalah sekitar RM20,000.
Terdahulu pada Rabu, Ismail Sabri menerusi hantaran PM di laman Facebook berkata, Tekun Nasional mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan.
"Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan, " kata Perdana Menteri.
Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (Disaster Relief Facility, DRF 2022). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram