Tak salah sebut Al-Fatihah dalam lirik Snoop Dogg — Joe Flizzow


  • Hiburan
  • Ahad, 19 Dis 2021

JOE Flizzow menyatakan rasa bangga apabila membawa nama Malaysia dalam kolaborasi bersama penyanyi antarabangsa, Snoop Dog.
SIAPA yang tidak bangga apabila dapat bekerjasama penyanyi Hip Hop yang cukup dikenali dan mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia iaitu Snoop Dogg.

Itu yang dirasakan penyanyi rap, Joe Flizzow apabila bekerjasama dengan Snoop Dogg menerusi album terbaharu penyanyi itu berjudul Algorithm.

Menariknya, Joe bukan sahaja membawa dirinya dalam kolaborasi itu tetapi juga membawa bahasa kebangsaan di dalam lagu berjudul Alright.

Malah, ruangan komen lagu itu yang dimuat naik di akaun di YouTube rasmi Snoop Dogg juga dipenuhi dengan rasa bangga oleh rakyat Malaysia atas tindakan Joe itu.

Namun, dalam lirik tersebut, Joe juga ada memetik perkataan Al-Fatihah yang umum mengetahui adalah satu daripada surah dalam kitab suci Al-Quran.

Menurut Joe, dia tidak berasakan dirinya bersalah dengan menyebut Al-Fatihah dalam liriknya bersama dengan penyanyi Snoop Dogg.

"Al-Fatihah itu adalah rujukan daripada lirik saya sebelum itu dan saya rasa tak nampak sebarang kesalahan dalam tindakan saya.

"Mungkin perkara itu akan buat orang berfikir macam-macam tetapi saya tenang dan tahu apa yang saya buat," katanya.

Dalam pada itu, Joe turut melahirkan rasa gembira apabila melihat bendera Malaysia terpampang pada poster rasmi album Snoop Dogg itu.

"Method Man & Redman merupakan legenda industri hip-hop dan merekalah sebab utama saya jatuh cinta pada muzik rap sebelum saya bergelar penyanyi.

"Berkongsi ruang dalam lagu bersama dengan Method Man dan Redman sambil diperkenalkan oleh Snoop Dogg dalam pengenalannya adalah sebuah mimpi yang menjadi kenyataan," katanya.

Tambah Joe, dia masih menyimpan satu lagi impian iaitu untuk menampil Snoop Dogg dalam album terbaharunya berjudul Johan pada tahun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram