GPS menang majoriti mudah di PRN Sarawak, bentuk kerajaan negeri


  • Politik
  • Sabtu, 18 Dis 2021

PERATUSAN keluar mengundi setakat pukul 4 petang adalah 55 peratus. — Bernama

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menepati ramalan apabila menang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 selepas meraih majoriti mudah 66 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi setakat pukul 4 petang adalah 55 peratus.

Sebanyak 1,866 pusat pengundian membabitkan 3,555 saluran dibuka pada PRN kali ini. Beberapa saluran di pedalaman ditutup lebih awal berikutan bilangan pengundi yang kecil.

Calon GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong menerusi pungutan undian sebanyak 4,310, sekali gus mengetepikan pencabar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini (703); calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Tomson Ango (157) dan calon AMANAH, Cikgu Kamal (94).

Di DUN Ba'kelalan, calon PSB, Baru Bian mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut selepas memperoleh majoriti 680, apabila menang dengan 2,687 undi menewaskan calon GPS, Sam Laya yang mendapat 2,007 undi.

Tiga lagi pencabarnya, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Peter Asut mendapat 110 undi; Martin Samuel Labo daripada PKR (57 undi) dan calon Bebas, Agnes Padan menerima hanya 55 undi, menjadikan masing-masing kehilangan wang deposit.

Hanya GPS bertanding di kesemua 82 kerusi yang dipertandingkan. Parti lain seperti PBK di 73 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) di 70 kerusi, PKR (28), DAP (26) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) di 15 kerusi.

Selain itu, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) bertanding di 11 kerusi, AMANAH (8), Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) di lima kerusi, PAS (satu) dan Bebas di 30 kerusi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram