Azizul Annuar cipta sejarah di DUN Tanjong Datu


  • Politik
  • Sabtu, 18 Dis 2021

AZIZUL Annuar menang besar di kerusi DUN Tanjong Datu pada PRN Sarawak ke-12. — The Star

PENAMPILAN sulung Azizul Annuar Adenan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 mencipta sejarah selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Anak bongsu kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem itu menang besar apabila mengalahkan saingannya dengan jumlah undi rasmi sebanyak 5,423.

Beliau yang bertanding buat pertama kali menggantikan penyandang yang juga ibunya, Puan Sri Jamilah Anu di kawasan itu berdepan dengan saingan calon daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Goem Pijar (226 undi); Parti Sarawak Bersatu (PSB), Jery’in Fauzi (921 undi) dan Bebas, Abdul Talib Baee (261 undi).

Pemerhati politik berpendapat, pengaruh Adenan sememangnya cukup kuat di Tanjong Datu, sehinggakan GPS merasakan beliau merupakan individu yang paling layak untuk meneruskan legasi bapanya, selain menghidupkan 'suara' golongan muda di DUN Sarawak.

Pada PRN11 pada 2016, Allahyarham Adenan, yang mesra disapa 'Tok Nan' menjadi wakil rakyat kawasan Tanjong Datu kerusi tersebut dengan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk penggal ketiga.

Susulan kematian Adenan pada 11 Januari 2017, Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dengan balu Allahyarham, dipilih bertanding mewakili BN.

Jamilah berjaya memenangi kerusi itu dengan undi majoriti 6,753 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram