PULAU Pinang sekali lagi disenaraikan sebagai pulau ketiga terbaik di dunia untuk persaraan.
Dalam senarai yang diterbitkan oleh International Living, Pulau Pinang adalah satu-satunya pulau di Asia yang tersenarai dan ia terkenal dengan penduduknya yang mesra dan suka menolong.
"Pulau Pinang menjadi kegemaran golongan ekspatriat selama beberapa dekad.
"Gaya hidup di sini seperti kelas pertama. Sepasang suami isteri boleh hidup selesa dengan bajet antara $1,500 dan $2,500 sebulan.
"Ia merupakan kehidupan mewah dengan bajet yang berpatutan di samping mendapat keselesaan dan kemudahan rumah," tulis penerbitan itu.
Dalam senarai itu, Pulau Pinang juga terkenal kerana lokasinya yang strategik di Asia Tenggara dan merupakan lokasi yang mempunyai seni bina menarik, pemandangan seni yang indah dan makanan jalanan terbaik di dunia.
Ia disenaraikan sebagai pulau ketiga terbaik selepas Pulau Malta dan Mallorca, Sepanyol.
Laman web International Living terkenal dengan mempromosikan idea hidup sederhana lebih baik di luar negara, dengan melakukan penyelidikan dan menyediakan maklumat mengenai destinasi yang murah, selamat, sihat dan percuma.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata, kerajaan negeri gembira berada di kedudukan pertama di Asia dan berada dalam kedudukan tiga teratas dunia yang mencuri tumpuan bersama 14 pulau menakjubkan yang lain dalam senarai itu.
"Pulau Pinang ialah syurga makanan jalanan dengan gandingan bersama bangunan kolonial yang memancarkan daya tarikan sejarah.
"Alam semula jadi, iklim tropika dan keterhubungan yang sangat baik adalah sebab anda perlu melawat Pulau Mutiara ini," jelasnya.
Pada April tahun ini, Pulau Pinang turut disenaraikan oleh satu lagi penerbitan pelancongan yang memenuhi keperluan pengembara warga emas sebagai pulau ketiga terbaik di dunia, dan yang pertama di Asia untuk persaraan pada 2021. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram