Geng Dubuk Samun Ragut tumpas di Klang


  • 112
  • Rabu, 15 Dis 2021

KESEMUA suspek kes ragut direman sehingga 19 Disember. — Gambar hiasan

POLIS berjaya menumpaskan kumpulan Geng Dubuk Samun Ragut yang dipercayai terlibat dalam kira-kira 20 kes samun dan ragut di sekitar kawasan Klang Selatan, Klang, Selangor susulan beberapa siri tangkapan terhadap empat lelaki pada 9 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan ke atas semua suspek berumur 26 hingga 42 tahun itu dijalankan susulan aduan seorang lelaki berusia 55 tahun di Lorong Resak, Taman Palm Grove, Klang, Selangor yang didatangi dua lelaki dipercayai suspek menaiki motosikal dari arah belakang dan meragut beg sandang pengadu lalu melarikan diri.

Katanya, ketua kumpulan samun tersebut yang berumur 40-an juga pernah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 namun masih melakukan jenayah samun dan ragut di sekitar Klang.

"Suspek berumur 40-an itu sebelum ini diletakkan di bawah pengawasan polis di Balai Polis Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang akhirnya ditahan semula bersama tiga suspek pada Khamis lepas," katanya sambil menambah kesemua suspek kini direman hingga 19 Disember.

Dalam perkembangan berlainan, kehadiran anggota polis yang disangka sebagai pembeli membawa kepada penahanan empat lelaki yang memproses, menjual serta mengedar air ketum di sebuah rumah di sekitar Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Klang, Selangor pada Ahad.

Ujar Hoong Fong, seorang daripada suspek juga sempat bertanya kepada anggota berkenaan berapa botol yang hendak dibeli sebelum polis bertindak memperkenalkan diri.

Tambahnya, susulan itu, keempat-empat suspek berumur 30 hingga 33 tahun yang ketika itu sedang membungkus air ketum ditahan dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah sewa jenis berkembar sekitar 12.10 tengah malam hingga 2 pagi.

Katanya lagi, serbuan hasil risikan polis itu turut menemukan sebuah stor dan tempat memproses cecair ketum di rumah tersebut selain merampas cecair disyaki ketum yang siap dibungkus berjumlah 600 liter, daun ketum 20 kilogram, cecair disyaki kodien (ubat batuk) sebanyak 583.20 liter serta peralatan memproses air ketum.

"Polis menganggarkan jumlah rampasan barangan tersebut bernilai RM12,000 dan turut disita wang tunai berjumlah RM250 disyaki hasil jualan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Klang, Selangor pada Rabu.

Hoong Fong berkata, hasil risikan mendapati sindiket yang beroperasi sejak enam bulan lepas itu memasarkan cecair ketum dan ubat batuk tersebut di sekitar daerah Klang.

Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala tempoh reman yang tamat pada hari ini, akan disambung untuk siasatan lanjut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram