Lari daripada polis, lelaki maut ditembak di Kuching, Sarawak


  • 112
  • Rabu, 15 Dis 2021

KEJADIAN tembakan yang berlaku di Kuching, Sarawak pada malam Rabu. — Bernama

SEORANG lelaki dipercayai mati ditembak selepas dipercayai cuba mengelak dan merempuh anggota polis kira-kira jam 7.40 malam di Jalan Simpang Tiga, Kuching, Sarawak pada malam Rabu.

Menurut laporan Sarawak Roads Update, difahamkan, suspek yang memandu Proton Saga lama itu telah diarahkan oleh polis untuk berhenti bagi pemeriksaan.

Dia bagaimanapun tidak mengendahkan arahan itu dan memecut laju, melanggar beberapa kenderaan di lampu isyarat Jalan Simpang Tiga di sini.

Beberapa anggota polis cuba mendekati kenderaan itu untuk menahan suspek tetapi dia dikatakan cuba merempuh mereka untuk cuba melarikan diri, menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.

Paramedik di tempat kejadian mengesahkan suspek telah meninggal dunia.

Difahamkan juga, suspek adalah individu yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam beberapa kes jenayah sebelum ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Lukas Aket ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan di lokasi. — Majoriti

Menyusul...

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram