Geng RXZ kena 'gegar' di stesen minyak


  • Tular
  • Khamis, 02 Dis 2021

TANGKAP layar rakaman video tular dua unit peronda polis menyerbu sekumpulan mat rempit di sebuah stesen minyak. — Facebook

KECOH di laman sosial apabila rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua orang polis trafik menyerbu sekumpulan geng mat rempit di sebuah stesen minyak, tular sejak Khamis.

Rakaman video itu menunjukkan sekumpulan geng motosikal dipercayai penunggang Yamaha RX-Z sedang menunggu giliran untuk mengisi minyak.

Menerusi pemerhatian terhadap rakaman berdurasi 29 saat itu, sekurang-kurangnya 11 buah motosikal disasarkan pihak berkuasa ketika serbuan tersebut dibuat yang tidak dinyatakan lokasi dan waktunya.

Dua peronda bermotosikal yang lengkap beruniform dan menunggang motosikal berkuasa besar dilihat masuk dari arah berbeza sebelum menyerbu beberapa penunggang motosikal yang sedang leka mengisi minyak.

Pada masa sama, seorang anggota daripada Skuad 42 iaitu skuad unit risikan operasi turut kelihatan di dalam rakaman video CCTV tersebut selepas dia sedaya upaya cuba merampas kunci daripada penunggang-penunggang motosikal berhampiran.

Dia juga dilihat cuba mengejar suspek apabila ada sebahagian daripada mereka melarikan diri. Video yang dikongsi laman Facebook Media Kelate itu mendapat reaksi berbeza daripada netizen.

Ada yang kurang senang melihat tindakan polis menyerbu penunggang motosikal terbabit kerana mendakwa pihak berkuasa hanya pandai mencari kesalahan kecil.

Pada masa sama, ada netizen mendakwa sudah pasti geng motosikal RX-Z tersebut mungkin ada melakukan apa-apa kesalahan sebelum mereka berhenti mengisi minyak hingga menyebabkan unit peronda bermotosikal sanggup menyerbu masuk di kawasan stesen minyak tersebut.

ride moto

TANGKAP layar reaksi netizen terhadap video tular polis serbu mat rempit di stesen minyak. — Facebook

Seorang pengguna Facebook, Qud's Adni berkata, tindakan polis menyerbu penunggang motosikal berkenaan wajar kerana mereka dilihat seperti mahu berlumba haram di jalan raya.

"Nak ride tu pastikan cukup la, motosikal standard, lengkap serba-serbi, lesen dan cukai jalan ada.

"Nak ride pergi makan-makan saja tapi macam nak pergi racing (berlumba). Memang patut la kena serbu," katanya.

Katanya lagi, jika penunggang motosikal berkenaan tidak buat sebarang kesalahan, kenapa mereka takut hingga melarikan diri daripada pihak berkuasa.

"Tak salah buat apa lari. Kata rider kental, motor sembang harga berpuluh-puluh ribu, kena saman bayar sahaja la. Tak mampu? Lemahhhh..," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram