Persatuan penggiat seni perlu elak pertelingkahan, cari titik persamaan


  • Hiburan
  • Rabu, 01 Dis 2021

ANNUAR Musa (tengah) menunjukkan trofi baharu yang diperkenalkan pada FFM31.

PENGGIAT seni diingatkan supaya tidak bercakaran dan menyelesaikan sebarang isu dengan baik bagi memajukan industri perfileman tanah air.

Menteri Komunikasi dan Miultimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, segala pertelingkahan perlu dikurangkan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

"Tak perlu nak selesaikan masalah dengan bergaduh atau membawa perkara itu hingga ke media sosial kerana ia boleh mengundang campur tangan pihak lain.

"Apa yang penting ialah mencari titik persamaan dan perkara ini tidak hanya tertumpu kepada industri hiburan sahaja, begitu juga dengan politik, sukan dan lain-lain," katanya ketika ditanya berkenaan dengan isu pergaduhan melibatkan persatuan-persatuan artis yang tidak pernah reda sejak dahulu lagi.

Annuar berkata demikian ketika ditemui di sidang media Festival Filem Malaysia ke-31 di Hotel Royal Chulan The Curve, Damansara pada Rabu.

Dalam pada itu, Annuar turut meminta supaya semua pihak termasuk selebriti memberi sokongan kepada FFM memandangkan itu adalah majlis untuk meraikan kru filem.

FFM31 akan berlangsung pada 10 Disember depan di Kuala Lumpur Convention Centre, yang mempertaruhkan 55 buah filem.

Buat pertama kalinya, pemenang Filem Terbaik akan membawa pulang trofi dan geran Dana Kandungan Digital bernilai RM500,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram