Dana RM500,000 untuk Filem Terbaik FFM31


  • Hiburan
  • Rabu, 01 Dis 2021

ZAKARIA mengangkat trofi FFM31 yang baharu diperkenalkan.
WANG RM500,000 akan diberi kepada filem yang diangkat sebagai Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember depan.

Menerusi FFM31, sebanyak 55 filem dipertandingkan dengan 32 filem daripadanya berbahasa Melayu, Mandarin (lapan), Tamil (11) dan lain-lain (empat).

Antara filem yang dicalonkan pada FFM31 termasuklah Wira, Tiada Tajuk, Motif, Suatu Ketika, Sangkar, Ejen Ali The Movie dan Upin Ipin-Keris Siamang Tunggal.

Selain itu, beberapa artis ternama seperti Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Liza Hanim dan Ella akan mengadakan persembahan.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abd Hamid berkata, FFM kali ini mengangkat tema ‘Citra Cinema’.

"Tema kali ini berinspirasikan keunikan serta variasi cerita, identiti dan nilai tempatan dengan impak pembikinan dan penontonan sejagat merentas sempadan.

"Fokus FFM31 kali ini juga bukanlah sekadar perayaan industri, namun ia platform satu suara di antara kerajaan, karyawan filem dan rakyat bagi bersama-sama mendukung kepada kecemerlangan industri," katanya pada majlis sidang akhbar FFM31 di Damansara pada Rabu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, konsep penganjuran Malam Anugerah FFM31 buat julung-julung kalinya diadakan dalam konsep pembudayaan norma baharu dengan mengikut SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan pihak kerajaan.

Selain itu, pemenang bagi setiap kategori bukan sahaja menerima trofi kemenangan, malah turut menerima hadiah berbentuk wang tunai.

Acara FFM31 akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan akan disiarkan secara langsung di TV2 pada pukul 9.00 malam.

Manakala acara Red Carpet disiarkan secara langsung di YouTube Finas Malaysia bermula 8.00 malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram