Longgarkan permit import, usahakan tanaman sendiri


  • Massa
  • Khamis, 02 Dis 2021

PROGRAM yang dianjurkan KPNDHEP untuk menyelesaikan masalah harga barang hanya dilihat bersifat sementara. — Gambar hiasan/Agensi
IDEA Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Program Jualan Keluarga Malaysia dilihat hanya menjadi penyelesaian jangka pendek.

Menerusi program tersebut yang akan bermula pada 4 Disember depan, harga barangan asas akan dijual antara 15 ke 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr. N Marimuthu berkata, program itu hanya dilakukan dua kali sebulan.

"Kalau melibatkan barangan keperluan asas, pengguna akan beli setiap hari. Bukan dua bulan sekali baru nak beli.

"Ketika ramai tengah mengeluh mengenai harga barang yang meningkat, maka bagi cadangan yang bersifat sementara sahaja. Sepatutnya buatlah perancangan dengan teliti," katanya kepada Majoriti.

Menurut Dr N Marimuthu, negara mengimport makanan sebanyak 55.4 bilion dan jumlah itu meningkat 22.3 peratus pada 2020.

"Kebergantungan kepada negara luar yang menyebabkan harga makanan sukar dikawal sedangkan kita sepatutnya boleh gunakan tanah yang ada untuk menghasilkan tanaman sendiri.

"Dalam negara, ada 103,563 hektar tanah terbiar yang direkodkan pada tahun 2019 dan itu sebenarnya boleh digunakan untuk tujuan menghasilkan makanan asas.

"Kita terlalu berharap pada negara luar dan kalau negara itu dilanda bencana besar, apa akan jadi pada kita?" katanya.

Selain itu, Dr N Marimuthu juga berharap supaya permit import makanan asas diluaskan kepada sesiapa yang mampu dan bukannya pihak tertentu sahaja.

Tambahnya, peluasan permit itu akan memberi peluang lebih banyak makanan masuk dan harga juga boleh dikawal dengan baik.

"Isu harga naik nampaknya setiap tahun akan timbul. Tetapi kerajaan masih tidak tampil dengan jalan penyelesaian yang terbaik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Massa, Harga Barang, Naik, KPDNHEP, FOMCA