IMPIAN penyanyi, Min Yasmin untuk mengadakan konsert solo akhirnya tercapai dan bakal berlangsung di Sandakan, Sabah pada Mac tahun depan.
Min, 33, atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz berkata, konsert Min Yasmin Live In Sandakan anjuran SS Event Management itu sepatutnya diadakan pada Oktober lalu.
Namun, disebabkan beberapa kekangan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), konsert itu terpaksa ditunda dahulu.
"Selama ini saya banyak melakukan konsert di Filipina dan kebanyakan penonton di Sabah terutamanya kaum Bajau dan Suluk sangat menanti konsert di Malaysia.
"Selama ini mereka tanya kenapa saya sibuk buat konsert di Filipina dan sekarang baru diberi kesempatan untuk buat di negara sendiri," katanya.
MIN Yasmin bersama suaminya, Julfekar yang juga seorang komposer.
Dalam pada itu, Min berkata konsertnya akan berlangsung selama dua hari di Sabah Hotel dan Tiong Hua Hall, Sandakan.
Jelasnya, penaja dan peminat juga sudah ramai yang menempah tiket dan walaupun sebelum ini ditunda, peminat tetap menyatakan rasa teruja.
"Insya-Allah, pada konsert ini saya akan menyanyikan lagu dalam Bahasa Suluk, Bajau dan Tagalog. Semoga kes Covid-19 semakin berkurangan dan konsert ini berjalan lancar," katanya.
Tambahnya, konsert itu juga bakal menampilkan penyanyi baharu Husadee dan beberapa lagi penyanyi tempatan di Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram