BUKAN satu rahsia lagi bahawa kelemahan barisan serangan Arsenal amat ketara musim ini.
Gandingan Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette hanya menghasilkan lima gol dalam 20 penampilan dalam semua kejohanan.
Tambah malang, Arsenal cuma menghasilkan purata 1.2 gol bagi setiap perlawanan dan kelab berkenaan menduduki tangga ke-12 dalam senarai purata jaringan setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Statistik itu nyata membimbangkan pengurus Arsenal, Mikel Arteta dalam mengharungi musim bola sepak yang masih berbaki kira-kira enam bulan lagi.
Meskipun Arsenal memiliki penyerang muda seperti Folarin Balogun, namun masih belum cukup meyakinkan Arteta untuk memberinya peluang beraksi. Dalam dua penampilan bersama Arsenal setakat ini, Balogun tidak menghasilkan sebarang gol.
Bagaimanapun, Arsenal masih memiliki seorang lagi penyerang muda dan berbisa dalam skuad remaja mereka iaitu Mika Biereth.
Biereth, 18, sebelum ini bermain untuk Fulham sebelum berhijrah ke Arsenal pada musim panas lalu. Di Fulham, Biereth menjaringkan 21 gol dan 13 bantuan hantaran dalam semua kejohanan musim lalu.
Dalam 12 penampilan bersama Arsenal musim ini, Biereth menjaringkan lima gol dan tiga bantuan hantaran, sekali gus menarik perhatian Arteta.
BIERETH berhijrah dari Fulham ke Arsenal pada musim panas lalu. — Agensi
Menurut laporan Football London, Biereth akan mendapat peluang untuk berlatih bersama pasukan senior dan Arsenal bersedia memberinya peluang untuk menyertai kelab lain secara pinjaman pada musim 2022/2023.
Pelan itu adalah sebahagian daripada projek untuk Biereth mendapatkan peluang bermain secara tetap dalam pasukan utama.
Walaupun Biereth sering diletakkan sebagai penyerang tunggal, dia juga mampu bermain di bahagian sayap atau pemain tengah menyerang.
Kemampuannya beraksi di pelbagai posisi serangan merupakan aset penting yang wajar dipandang oleh kelab EPL.
Musim ini, Biereth lebih banyak bermain di belakang Balogun namun itu bukan satu petanda buruk buat penyerang terbabit kerana mampu mempelbagaikan lagi corak permainannya di posisi berbeza.
Menginjak usia 18 tahun, peminat Arsenal khususnya tentunya tidak akan menyaksikan aksinya di pentas EPL dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.
Namun mereka harus teruja sekiranya Biereth mampu memberikan 'hasil lumayan' kepada Arsenal seandainya diberi kepercayaan mengemudi jentera serangan kelab itu pada masa hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram