SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa menzahirkan kekesalan terhadap pemandangan di Sungai Danga, Johor Bahru yang dicemari pelbagai sampah sarap.
Menerusi kenyataan baginda di Facebook rasminya pada Selasa, Sultan Ibrahim sebelum itu telah mengemudi sendiri ‘Airboat’ milik baginda hampir sejam bermula jam 9 pagi dengan menyusuri sungai berkenaan bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaran.
KEADAAN di Sungai Danga, Johor Bahru
Oleh itu, baginda telah menitahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan untuk segera mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di sungai-sungai.
"Exco Kesihatan dan Alam Sekitar ambil perhatian perkara ini, jangan tengok masalah kesihatan sahaja, manakala penjagaan alam sekitar juga penting untuk kehidupan rakyat.
"Kerja-kerja perlu dilakukan secara berterusan, begitu juga aspek penguatkuasaan dan pemantauan. Jangan tunggu hingga ditegur, baru kerja hendak dijalankan,” titah Sultan Ibrahim.
Sultan Johor juga bertitah agar Vidyananthan segera menyediakan laporan berhubung punca masalah pencemaran sampah sarap di sungai tersebut.
"Banyak peruntukan disalurkan kepada agensi dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga sungai dan alam sekitar, namun tiada kesan,” titah baginda.
Terdahulu pada Oktober, baginda turut menzahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah di dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air di kawasan bandar raya Johor Bahru terutamanya pada musim hujan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram