LANGKAH reformasi pentadbiran negara dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin dengan menyatakan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri akan diperkenalkan.
Jelas beliau, had ditetapkan adalah dua penggal, bersamaan 10 tahun dengan pertemuan antara kerajaan dan ketua parti-parti politik dijangka dibuat pada masa terdekat.
Cadangan berkenaan menerima respons meluas, termasuk daripada parti komponen kerajaan dengan ada daripada mereka sudah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara terbabit.
BACA LAGI: PM Anwar tunai solat Jumaat di Masjid Jumhuriah
BACA LAGI: PM Anwar umum anggota Kabinet Madani, Hannah Yeoh-Steven Sim antara bertukar portfolio

Had tempoh pemerintahan Perdana Menteri pernah disertakan dalam manifesto Barisan Alternatif pada 1999.
Tidak cukup dengan itu, langkah reformasi dibentangkan Anwar tersebut turut menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.
Antara perkara dibincangkan adalah bagaimana idea berkenaan pernah tercetus kira-kira 27 tahun lalu menerusi manifesto dikeluarkan Barisan Alternatif menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10.
Dalam manifesto dikenali sebagai Ke Arah Malaysia yang Adil itu, salah satu isu diketengahkan adalah untuk memastikan ketelusan dan semak imbang (accountability).
Ini termasuk mencadangkan agar tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dihadkan kepada hanya dua penggal.
Keratan daripada manifesto itu kemudiannya dikongsikan di media sosial dengan orang ramai mengupas bagaimana perkara tersebut masih dilaksanakan meskipun sudah bertahun-tahun lamanya.
Di samping itu, pandangan dilontarkan masyarakat turut menyentuh berhubung manfaat di sebalik cadangan tersebut dalam usaha mencetuskan reformasi pentadbiran negara.
Antara yang memberi komen ialah pengguna Facebook, Azizi Safar yang menyokong RUU terbabit dengan menekankan tempoh 10 tahun sudah cukup untuk mana-mana Perdana Menteri.
"Hakikatnya, perancangan pembangunan negara tidak bergantung kepada tempoh seseorang semata-mata. Malaysia sendiri telah lama mengamalkan perancangan berfasa melalui Rancangan Malaysia (RMK) yang digubal setiap lima tahun.
"Dalam tempoh dua penggal, seorang Perdana Menteri sudah melalui dua kitaran RMK atau bersamaan 10 tahun perancangan dan pelaksanaan.

Tempoh 10 tahun sepatutnya mencukupi untuk mencipta perubahan dalam negara.
"Sepuluh tahun bukan tempoh yang singkat. Ia cukup panjang untuk menggubal dasar besar, memulakan reformasi struktur, melaksanakan projek berskala nasional dan melihat hasil awal daripada dasar yang dibuat," tulisnya.
Tambahnya lagi, pembangunan negara tidak seharusnya berfokus kepada seseorang Perdana Menteri kerana kesinambungan perlu dipastikan menerusi institusi dan bukan individu semata-mata.
Sekiranya perubahan Perdana Menteri mengubah dinamik pentadbiran, ia membuktikan institusi negara adalah lemah dan tidak boleh dijadikan alasan memanjangkan tempoh pemerintahan.
Setakat ini, cadangan RUU itu masih di peringkat awal dengan masih terdapat pelbagai lapisan perlu dilalui sebelum dasar baharu tersebut dapat dilaksanakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
