[VIDEO] 'Macam kipas tercabut', 3 kanak-kanak antara 10 maut, nahas pesawat peribadi terhempas di padang bola


  • Benua
  • Khamis, 18 Dis 2025

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pesawat merempuh sebuah gudang di kawasan perindustrian bersebelahan padang berkenaan.

SERAMAI 10 individu termasuk tiga kanak-kanak disahkan maut selepas sebuah pesawat peribadi jenis Cessna Citation III (CE-650) terhempas di sebuah padang bola sepak di Mexico pada Isnin.

Pesawat itu dipercayai cuba melakukan pendaratan kecemasan sebelum merempuh sebuah gudang di kawasan perindustrian bersebelahan.

Kejadian berlaku kira-kira 48 kilometer di barat Mexico City.

BACA LAGI: [VIDEO] Jojo usik Miki ‘terkumat-kamit’ nyanyi Negaraku selepas raih emas Sukan SEA

BACA LAGI: Benjamin Mora kembali bekerja, dikhabar jadi pengendali kelab Indonesia

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pesawat menjunam di kawasan itu.

Seorang penduduk tempatan, Octavio Contreras berkata, pesawat dilihat berpusing-pusing di udara sebelum terhempas.

"Ia berpusing-pusing seperti kipas yang tercabut. Kami kemudian terdengar letupan kuat sehingga trak turut bergegar sebelum melihat kepulan asap hitam," katanya.

Pihak berkuasa mengesahkan pesawat itu membawa lapan penumpang dan dua kru, namun hanya tujuh mayat ditemui beberapa jam selepas nahas.

Tiga kanak-kanak yang terkorban berusia dua, empat dan sembilan tahun, manakala mangsa dewasa berusia antara 31 hingga 60 tahun.

Juruterbang dikenal pasti sebagai Juan Carlos Olivares Casas, 61, dibantu pembantu juruterbang, Walding Sanchez Manzano, 72.

Sebahagian mangsa juga dipercayai sekeluarga.

Pesawat berlepas dari pusat peranginan Acapulco kira-kira 30 minit sebelum nahas pada pukul 12.30 tengah hari, sekitar lima kilometer dari Lapangan Terbang Toluca.

Dalam pada itu, Datuk Bandar San Mateo Atenco, Ana Muniz berkata, kebakaran akibat nahas memaksa kira-kira 130 penduduk dipindahkan sebagai langkah keselamatan.

Menteri Keselamatan Awam Negeri Mexico, Cristobal Castaneda pula berkata, pemindahan itu juga dilakukan kerana kebocoran bahan api dan tangki gas di lokasi.

Hernandez mengesahkan tiada pekerja kilang atau gudang yang tercedera kerana premis berkenaan tidak beroperasi pada hari kejadian.

Siasatan mengenai punca nahas masih dijalankan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram