[VIDEO] 'Jangan dinormalisasikan', budaya jual makanan gaya Indonesia langgar peraturan, dikhuatiri undang penyakit


  • Massa
  • Isnin, 15 Dis 2025

Tangkap layar dari video memaparkan penjual tersebut menolak gerobak dan tidak mengikut prosedur penyediaan makanan secara sihat.

SUDAH menjadi satu kebiasaan di bandar-bandar besar sekitar Indonesia apabila penjaja akan menolak gerobak untuk menjual pelbagai jenis makanan.

Produk seperti bakso, aneka kuih dan nasi berlauk merupakan antara yang sering dijual sehingga ia menjadi daya tarikan pelancong yang tertarik akan budaya sebegitu.

Bagaimanapun, kaedah penjualan berkenaan mula ditiru dalam negara apabila sebuah video baru-baru ini memaparkan seorang lelaki berusia menjual bakso dalam gerobak sekitar Pandan Indah, Kuala Lumpur (KL).

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan soal tak kesiankan penjaja 'jalanan', kena faham semua peniaga dilarang guna minyak bersubsidi

BACA LAGI: 'Babit makanan dan minuman yang dijual, ada baiknya penjaja air balang Rambo tanpa lesen disita'

Dalam video itu, penjual tersebut dipercayai merupakan warga Indonesia berdasarkan cara percakapan dan pemakaiannya dengan gerobak ditolaknya cukup serupa seperti mana dapat dilihat di negara jiran.

Gaya penjualan sebegitu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat yang mula bertanya-tanya sama ada individu tersebut berniaga dengan lesen atau sebaliknya.

Malah, pengguna media sosial turut khuatir dengan gaya penyediaan makanan yang tidak mengikut prosedur sehingga boleh menyebabkan penyakit berjangkit.

"Entah apa hendak jadi pada masa depan? Sekarang pun boleh lihat hancurnya sistem jabatan yang dipercayai warga tempatan. Kenapa harus tunggu laporan baru nak buat kerja?

Jualan menggunakan gerobok penjaja boleh dikatakan sebagai satu daya tarikan di Indonesia.

"Maksudnya, kalau tiada laporan, mereka tidak ada kerja lah? Duduk sahaja di pejabat dan bilik berhawa dingin dan balik selepas cukup waktu bekerja," kata ANW.

"Saya fikir di Indonesia tadi? Kalau di Indonesia, orang Malaysia suka-suka meniaga sebegini sudah lama akan dihalau. Faham, dia susah, tetapi kalau biar lama-lama makin ramai akan buat begini," kata Nurul Aimy.

"Macam mana boleh terlepas ni? Kalau tidak ditangani akan menjadi barah pada masa depan. Kini, anak-anak kecil pun sudah banyak berbahasa Indonesia kerana diajar penjaga," kata Daddy Don 65.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung aktiviti perniagaan tersebut meskipun orang ramai terus mendesak penyelesaian secepat mungkin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram