ALAM perkahwinan sering digambarkan indah di media sosial, namun realiti di sebaliknya kadangkala membawa beban emosi yang tidak terjangkau.
Baru-baru ini, luahan hati seorang isteri dan suri rumah tangga yang telah berkahwin selama tujuh tahun dan bakal menimang anak ketiga mencetuskan perbualan mendalam tentang kekosongan jiwa di sebalik kesenangan material.
Wanita tersebut, yang mengakui suaminya merupakan 'provider' 100 peratus yang baik, meluahkan rasa menyesal dengan keputusan perkahwinannya.
BACA LAGI: Kenapa anak cepat 'moody', mengamuk bila kalah permainan digital?
BACA LAGI: Ibu bapa mudah melenting pada anak tanda jiwa belum sembuh dari luka masa silam
"Saya suri rumah tangga. Tujuh tahun berkahwin. Suami baik, 100 peratus penyedia rezeki. Bakal menjadi ibu kepada tiga orang tidak lama lagi. Kalau ditanya apa yang saya mahukan, saya mahu putar balik masa. Saya tidak mahu berkahwin. Saya mahu bekerja, mahu ada duit sendiri. Mahu bergaul dengan ramai orang, bukan jadi introvert. Mahu melancong, mahu ada simpanan sendiri tetapi saya sayangkan anak-anak saya."
Luahan itu, walaupun kedengaran seperti tidak bersyukur, mendapat respons empati dari orang ramai yang melihatnya sebagai isu lebih mendalam iaitu kesepian dalam perkahwinan dan kehilangan identiti diri.
Wanita tersebut kemudian menjelaskan bahawa perasaannya bukan berpunca daripada rasa tidak bersyukur atau keletihan melampau, tetapi daripada perasaan dipandang rendah oleh suami sendiri.
"Saya bukan tidak bersyukur dan bukan juga keletihan melampau. Ya, suami memang baik, tetapi saya selalu terasa dengan kata-kata dia. Saya tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan, tetapi mendapat suami yang menyediakan segala-galanya, manakala kita pula kosong, tiada apa-apa sangat dipandang rendah."
Beliau memberikan satu contoh situasi yang paling menyakitkan.
"Saya tidak boleh mengadu penat, sebab suami akan cakap dia bekerja lagi penat hendak menanggung semua. Dan dia akan cakap 'kalau macam itu, awak sajalah keluar bekerja, saya duduk rumah jaga anak-anak'. Ya, saya akui memang kerja dia penat sangat, tetapi tidakkan disebabkan dia lagi penat, saya tidak boleh rasa penat. Sejak itu saya tidak meluah lagi, saya pendam."
Perasaan dipandang rendah itu muncul apabila wujud jurang kuasa yang besar dalam perkahwinan, yang mana nilai diri isteri mula diukur berdasarkan sumbangan material suami menyebabkan isteri berasa kecil hati, tawar hati dan kehilangan suara.
Melihat kepada dilema yang dihadapi wanita tersebut, ramai pengguna media sosial tampil memberikan kata-kata semangat dan nasihat yang bernas.
Pengguna Sarisyakira memberikan ulasan yang paling mendalam, menyentuh punca utama kesepian dalam rumah tangga.
"Perkahwinan memang sunyi Puan. Anda berdua terlalu fokus untuk menjadi ibu bapa sehingga anda terlupa atau menangguhkan untuk menjadi kekasih antara satu sama lain. Silalah mulakan secara kecil-kecilan, mula menghargai antara satu sama lain sebagai kekasih semula. Ucapkan terima kasih apabila anda benar-benar maksudkannya, ucapkan maaf apabila anda berhutang maaf."
Pengguna Opals_444 pula bersimpati dengan keadaan wanita tersebut, terutamanya dengan faktor kehamilan yang sedang dialami:
"Saya yakin anda kesunyian. Minta suami anda keluar temu janji berdua. Berdasarkan perkongsian anda, anda memiliki segala-galanya, cuma mungkin ia menjadi hambar selepas bertahun-tahun berkahwin. Terus terang, itu adalah perasaan yang normal dan sah Puan. Jangan terlalu bersedih kerana ia boleh diperbaiki. Luahkan kebimbangan anda kepada pasangan dan InsyaALLAH, semuanya akan baik untuk anda dan keluarga anda."
Faktor perubahan hormon dan tekanan sebelum kelahiran anak ketiga juga diakui boleh memainkan peranan besar dalam kemurungan dan kesunyian emosi.
Pengguna Ayreenjazminee mengingatkan bahawa kehidupan bekerja juga mempunyai cabaran tersendiri, seperti gaji kecil, kerja banyak dan tiada masa untuk bersosial, lantas menasihati agar beliau bersyukur dengan apa yang ada. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
