KETIKA cuaca mula sejuk dan musim bertukar, ramai sudah membayangkan hidangan labu dan suasana hujung tahun.
Di Amerika Syarikat (AS), hujung November juga bersamaan dengan perayaan Thanksgiving yang menandakan bermulanya musim membeli-belah.
Namun bagi ramai orang di Malaysia, Black Friday menjadi acara jualan murah yang amat dinanti.
Tempoh itu biasanya sibuk dengan orang ramai memburu tawaran dan diskaun, sebab itu banyak media dan platform beli-belah cuba memudahkan urusan pengguna dengan menghimpunkan promosi terbaik setiap tahun.
BACA LAGI:Sebelum meninggal dunia, legenda pemahat kayu ukir diri sendiri tanda hadiah terakhir buat isteri

Black Friday di AS menyaksikan ribuan pembeli membanjiri pusat beli-belah bagi berebut tawaran hujung tahun.—Agensi
Walaupun Black Friday sudah menjadi istilah yang biasa didengar, ramai sebenarnya tidak tahu asal-usul namanya.
Hari selepas Thanksgiving itu telah lama digelar Black Friday dan kini sinonim dengan harga murah serta suasana membeli-belah yang luar biasa sibuk.
Mengapa dipanggil Black Friday?
Istilah Black Friday pertama kali muncul pada tahun 1869. Dua pelabur ketika itu memanipulasi harga emas di pasaran New York sehingga mencetuskan kejatuhan pasaran.
Kesan dominonya membuat pasaran saham menjunam sekitar 20 peratus, perdagangan luar negara terbantut dan harga komoditi seperti jagung serta gandum merosot teruk.
Pada 1950-an pula, istilah itu kembali digunakan oleh penduduk Philadelphia untuk merujuk kepada hari di antara Thanksgiving dan perlawanan bola sepak popular Army–Navy.
Pertambahan pelawat dan pembeli menyebabkan kesesakan luar biasa dan pihak berkuasa terpaksa berhempas-pulas mengawal keadaan.
Menjelang penghujung 1980-an, peruncit mengambil semula istilah itu dan memberikannya makna baharu.
Dalam akaun kewangan, dakwat merah merujuk kepada kerugian manakala dakwat hitam menandakan keuntungan.
Black Friday kemudian disambut sebagai hari membeli-belah yang membantu melonjakkan keuntungan perniagaan.
Sejak itu, namanya kekal dan berkembang menjadi musim jualan bersama acara lain seperti Cyber Monday dan Small Business Saturday.
Bila Black Friday 2025?
Black Friday jatuh pada hari Jumaat selepas Thanksgiving setiap tahun. Untuk 2025, ia akan berlangsung pada 28 November, manakala Cyber Monday pula jatuh pada 1 Disember.
Black Friday mungkin berasal dari AS, tetapi fenomenanya kini turut mempengaruhi budaya membeli-belah di Malaysia.
Walaupun kita tidak menyambut Thanksgiving, konsep jualan itu semakin meluas, bukan sahaja di platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada, tetapi juga di butik dan jenama fesyen antarabangsa yang menawarkan potongan besar hujung tahun.
Gabungan promosi fizikal dan dalam talian ini menjadikan Black Friday satu lagi tarikh penting dalam kalendar belian rakyat Malaysia, seiring acara seperti 11.11 dan Year-End Sale.

Tetapkan bajet sebelum memulakan pemburuan tawaran Black Friday supaya tidak terlebih belanja.—Gambar hiasan/Freepik
Tip kawal belanja ketika jualan besar
Memetik laporan agensi, pakar kewangan menyarankan beberapa langkah mudah untuk mengelakkan pembelian impulsif ketika jualan besar-besaran.
Berikut tujuh tip yang boleh membantu anda kekal berdisiplin ketika membeli-belah:
1. Tetapkan had belanja
Pastikan anda sudah menentukan bajet sebelum membeli-belah.
2. Kenal pasti ‘trigger’ pembelian
Fahami apa yang membuat anda cenderung membeli tanpa berfikir.
Selalunya ia berpunca daripada promosi yang kedengaran menarik, tetapi tidak semua tawaran benar-benar menjimatkan.
3. Rancang pembelian awal
Senaraikan barangan yang benar-benar diperlukan. Bandingkan harga di beberapa platform supaya anda tidak terburu-buru membeli.
4. Cuba ‘diet tunai’
Jika anda mudah membuat pembelian spontan, hadkan diri kepada tunai sahaja.
Apabila wang habis, itu tanda masa untuk berhenti.
5. Pantau belanja dalam talian
Pembelian online lebih mudah menyebabkan kita hilang kawalan.
6. Semak transaksi dengan kerap dan gunakan aplikasi pengurusan kewangan
Elakkan membeli barang tidak perlu semata-mata untuk konon 'jimat'.
Banyak kedai menggalakkan pembelian tambahan untuk layak penghantaran percuma atau potongan lebih besar.
Jika barang tambahan itu tidak penting, lebih baik bayar penghantaran.—Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
