SATU perkongsian menyentuh hati di laman Threads oleh pengguna @azwinasyazwyna tular apabila memaparkan pengorbanan sekumpulan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sanggup meredah banjir demi menyelamatkan buku-buku pelajaran mereka.
Menerusi hantaran tersebut, beberapa pelajar dilihat berusaha dalam memastikan buku-buku mereka tidak hanyut ketika banjir melanda kawasan sekolah mereka.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah sekolah menengah di Arau, Perlis.
BACA LAGI: Mangsa banjir berdaftar di PPS dapat RM1,000 setiap keluarga, masuk terus akaun BSN — NADMA
BACA LAGI: Demi lindungi imej Kerajaan Madani, Shamsul Iskandar hantar surat letak jawatan Setpol Kanan PM
Tindakan murni para pelajar itu meraih pujian ramai warga maya yang tersentuh melihat kesungguhan mereka mempertahankan bahan pembelajaran.
Rata-rata pengguna Threads mendoakan agar semua pelajar terlibat dipermudahkan urusan serta diberikan keputusan yang cemerlang dalam SPM.
“Semoga lulus SPM dik,” tulis @budak_pinokio.
“Semoga asbab ujian ini mereka mudah menjawab dan dapat straight A,” kata @candazeee.
“Anak-anak hebat, semoga kalian semua berjaya dalam SPM,” ujar @khalidasafa pula.
Dalam pada itu, ada juga pengguna yang mengimbau kembali pengalaman sama ketika anaknya menduduki SPM dalam keadaan banjir di Kelantan, tahun lalu.
“Sedihnya, teringat anak SPM tahun lepas di Kelantan, banjir macam ini. Semoga dipermudahkan urusan semua anak-anak yang periksa SPM,” kongsi @cek_sihat.
Susulan itu, seorang pengguna yang dikenali sebagai ct.yam2 tampil memberikan cadangan berkaitan SPM.
“Saya dari dulu sampai sekarang masih cuba fikir, mengapa budak SPM ini tidak diadakan pada bulan Oktober atau diawalkan.
“Jangan cerita pasal silibus tak habis-habis, benda itu boleh dirancang dari awal. Siapa yang ada empati pada anak-anak di kawasan Pantai Timur?.
“Macam mana emosi mereka pun pasti terganggu, kenapa masih lagi di takuk lama yang membeku?.
“Boleh saja dibuat penyesuaian pada silibus yang penting, tak perlu cuti panjang. Contohnya, terus beri cuti 2 bulan dari November hingga Disember. Benda ini boleh difikirkan,” kongsinya.
Kisah itu bukan sahaja mencerminkan ketabahan para pelajar menghadapi cabaran, malah menjadi simbol semangat mereka untuk terus berusaha demi masa depan, walaupun diuji dalam keadaan serba kekurangan.
Situasi banjir di negara kelihatan berada di tahap membimbangkan apabila negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Selangor terjejas.
Ini menyaksikan seramai lebih 20,000 mangsa termasuk pelajar dan calon SPM terpaksa berpindah dan berlindung di pusat perpindahan sementara (PPS). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
