DATUK Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.
Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi hantaran ringkas di platform X pada Selasa.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas difahamkan terdapat percubaan untuk menyerangnya berhubung isu surat sokongan kepada kontraktor projek hospital yang berpotensi menjejaskan imej Kerajaan Madani.
BACA LAGI: Mangsa banjir berdaftar di PPS dapat RM1,000 setiap keluarga, masuk terus akaun BSN — NADMA
BACA LAGI: 'Jangan teruja main air', lelaki beri amaran bahaya makhluk berbisa waktu banjir
"Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
"Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini.
"Saya juga pagi tadi telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terima kasih Perdana Menteri di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya," katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 18 November, Anwar mengesahkan di Dewan Rakyat bahawa beliau telah menegur setiausaha politiknya berhubung surat berkenaan, yang dikeluarkan tahun lalu tetapi tidak secara khusus menyebut nama Shamsul Iskandar.
Anwar menegaskan bahawa peraturan dan prinsip kerajaan tidak membenarkan tindakan sedemikian.
“Jika ada surat yang ditujukan kepada saya, paling banyak saya hanya boleh menulis ‘sila semak’. Itu adalah prosedur standard.
"Di Sabah sahaja, terdapat berpuluh surat, ada yang mengenai kontrak dan kami hanya menulis ‘sila semak’. Mengeluarkan sebarang bentuk sokongan adalah tidak dibenarkan,” jelasnya.
Kenyataan Perdana Menteri itu dibuat sebagai jawapan kepada soalan tambahan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang meminta penjelasan mengenai dakwaan bahawa setiausaha politik PM telah mengeluarkan surat sokongan kepada Kementerian Kesihatan, menyenaraikan kontraktor untuk projek hospital 2024.
Ahmad Fadhli mendakwa daripada enam kontraktor yang disenaraikan dalam surat sokongan tersebut, hanya dua layak. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
