SEBUAH rakaman memaparkan sekumpulan rakyat Malaysia yang merayu kepada pihak berkuas Thailand supaya membuka semula pintu sempadan selepas waktu operasi tamat mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku di salah satu pintu masuk utama Malaysia–Thailand itu menimbulkan pelbagai reaksi, khususnya berkaitan sikap sesetengah pelancong yang kurang peka terhadap peraturan di negara jiran.
Dalam video berdurasi hampir satu minit yang dimuat naik pengguna Facebook, Anothai Mahasen menyaksikan beberapa individu dilihat berdiri berhampiran pagar sempadan sambil berbual dengan pegawai bertugas di seberang sana.
BACA LAGI: [VIDEO] Sudah berdamai, kes lelaki hempuk juruwang diklasifikasikan NFA — Polis Selama
Walaupun mereka cuba memujuk agar pintu pagar dibuka semula, permintaan itu tidak diendahkan oleh pihak berkuasa negara itu kerana waktu operasi sudah berakhir tepat pukul 12 tengah malam waktu Malaysia.
“Tepat jam 12 waktu Malaysia, walaupun kita beri salam, pintu pagar sempadan tetap akan ditutup. Jangan palatao, orang biasa pun tak akan dapat buka," kata pengguna Facebook itu.
Situasi itu memberi gambaran jelas mengenai ketegasan pihak berkuasa Thailand yang tidak berkompromi dalam melaksanakan peraturan sempadan, tanpa mengira status atau pengaruh mana-mana individu.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet menasihatkan orang ramai agar melakukan persediaan rapi sebelum melancong ke luar negara terutamanya berkaitan waktu operasi sempadan bagi mengelakkan situasi tidak diingini.

Tangkap layar hantaran dari Anothai Mahasen.
"Nak travel ini kena buat homework. Pukul berapa border tutup. Bukit Kayu Hitam 12 tengah malam, Padang Besar tutup 10 malam," kata seorang pengguna, Mohd Azizi.
“Kena awal. Tak perlu la fikir sempat lagi. Singgah sana sini nak beli itu ini. Orang sebelah sana pun nak rehat, ikutlah undang-undang," komen warganet, Sennddoss Shepphieaz yang menegur sikap pelancong suka melambat-lambatkan perjalanan.
"Prosedur kerja dan integriti perlu dihormati. Kita sebagai pelancong kena patuhi waktu yang ditetapkan supaya tak menyusahkan orang lain," pendapat pemilik akaun Facebook, Krustasia Syclla. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
