
SEBUAH video yang tular di media sosial memaparkan seorang tenaga pengajar didakwa melakukan kekasaran terhadap seorang pelajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu, Gong Badak, Terengganu.
Rakaman tersebut menunjukkan tenaga pengajar itu meletakkan kedua-dua lututnya di badan pelajar berkenaan sambil tangannya memegang kepala mangsa dengan kasar yang mencetuskan kemarahan warga maya.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku semasa sesi pembelajaran di ILP tersebut.
Tindakan tenaga pengajar itu dianggap terlalu keras oleh ramai warga maya yang menyifatkannya tidak wajar dalam suasana tempat belajar kemahiran.
Meskipun niat tenaga pengajar dikatakan untuk memberi pengajaran, ramai berpendapat cara tersebut keterlaluan dan tidak sesuai diaplikasikan dalam pusat pendidikan.
" Ini ILP, bukan kem tentera,kita faham nak ajar tapi kenapa sampai nak naik macam itu," kata Mohd Hazim.
“Ini bukan soal lembik atau keras, ini tempat belajar kemahiran, bukan kem latihan anggota tentera,” kata Heiqal Mat Yob.
“Kita faham nak beri pengajaran, tapi naik atas badan pelajar itu macam kem tentera pula,” tambah Maruf Afandi.
“Ini pusat kursus pelajaran, bukan kem tentera. Kenapa pijak kepala pelajar pula?," soal Man Mandblack.
Isu tersebut terus menjadi perbualan hangat di media sosial, dengan seruan agar tindakan disiplin dilakukan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang di masa hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram