
ISU penyewa dari neraka yang yang tular sebelum ini di Facebook menerusi hantaran pengguna dikenali sebagai Hunny Mahadi kini memasuki episod baharu apabila pasangan penyewa terbabit dikatakan mahu mengambil tindakan undang-undang.
Dalam hantaran terkininya, Hunny mendakwa penyewa tersebut masih gagal melunaskan tunggakan sewa selama tiga bulan dan meninggalkan rumah dalam keadaan yang sangat kotor dan rosak teruk.
“Rambut sama hitam, hati lain-lain. Konon nak tunjuk hebat, tapi sewa tiga bulan pun tak bayar,” tulis Hunny.
BACA LAGI: [VIDEO] Nahas 7 kenderaan, bomba guna kren keluarkan mangsa maut tersepit bawah treler di Batu Pahat
Menurut Hunny, rumah sewanya ditinggalkan dalam keadaan menjijikkan, penuh sampah, kesan kotoran, serta kerosakan besar yang menelan belanja pembaikan mencecah belasan ribu ringgit.
Tambahan pula, bil elektrik yang tertunggak dilaporkan mencecah RM1,300.
“Lipas ‘diternak’ dalam rumah itu siap berkampung dalam pintu sampai pintu pun rosak. Pest control datang pun bukan sekali dua, banyak kali baru selesai,” katanya lagi.
Hunny turut mendedahkan bahawa penyewa terbabit kini cuba menuntut semula sebuah komputer riba yang ditinggalkan, yang menurutnya sepatutnya menjadi cagaran atas kegagalan mereka membayar sewa.
Lebih mengejutkan, pasangan penyewa itu didakwa turut mengugut untuk membuat laporan polis terhadap Hunny berikutan pendedahan yang dibuat di media sosial.
“Nak report polis? Silakan. Kami pun dah lama buat laporan sebab dapat penyewa macam ni. Rumah itu hancur macam rumah hantu, tapi mereka masih tak sedar diri," ujarnya lagi.
Keadaan sinki rumah sewa selepas ditinggalkan oleh penyewa tersebut.
Hunny menegaskan bahawa mereka tidak akan memadam hantaran tular itu selagi penyewa berkenaan tidak menjelaskan tunggakan sewa dan menanggung kos kerosakan yang ditinggalkan.
“Kalau rasa malu, bayar semua tunggakan. Baru kami padamkan post. Kalau tidak, bersedialah hadap malu tujuh keturunan. Ini bukan sekadar pengajaran untuk mereka, tapi juga peringatan buat semua tuan rumah agar lebih berhati-hati," tambahnya.
Hunny turut memohon sokongan warga maya untuk terus berkongsi kisah tersebut sebagai kesedaran kepada pemilik rumah lain, dan menawarkan komputer riba yang ditinggalkan itu untuk dijual bagi menampung sebahagian kos kerosakan.
Terdahulu, Hunny berkongsi pengalaman penyewa yang gagal bayar sewa lebih tiga bulan dan merosakkan rumah teruk, termasuk kebersihan yang teruk dan kerosakan fizikal.
Menurutnya, penyewa berkenaan juga menukar mangga rumah tanpa izin serta menipu dengan mencagarkan kereta milik ayahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram