[VIDEO] Atlet Selangor tersilap garisan, terlepas naik podium acara 3000m


  • Podium
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Tangkap layar menunjukkan detik-detik peserta nombor 802 pantas memintas Juliette dalam acara 3000 meter steeplechase.

KEJOHANAN Olahraga Terbuka Malaysia 2025 yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis mencuri perhatian ramai apabila sebuah insiden membabitkan seorang peserta wanita dalam perlawanan akhir acara 3000 meter Steeplechase Terbuka Wanita menjadi tular di media sosial.

Dalam satu rakaman video yang dikongsi di laman rasmi Facebook, Olahraga Malaysia/Malaysia Athletics, kelihatan seorang atlet wanita yang dikenali sebagai Juliette Emma Lopez sedang mendahului perlumbaan untuk merebut tempat ketiga dalam acara tersebut.

Namun, kekeliruan berlaku apabila Juliette yang memakai nombor 850 menyangka dia telah melepasi garisan penamat dan berhenti berlari sedangkan perlumbaan masih berbaki beberapa meter.

BACA LAGI: [VIDEO] Nama sama suami alasan wanita masalah saraf otak cuba peluk Sultan Nazrin ketika sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh

BACA LAGI: [VIDEO] Kini berstatus ejen bebas, tak salah Terengganu 'rujuk' semula bekas top scorer dari Uzbekistan

Menyedari kekeliruan itu, peserta yang memakai nombor 802 yang dikenali sebagai Nur Qaireen Azzalea Mohammad Rizal dari Pulau Pinang pantas mengambil peluang untuk memintas dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Juliette yang juga merupakan atlet dari Selangor itu tersedar dari kekeliruan tersebut segera berlari semula ke garisan penamat, namun segalanya sudah terlambat dan terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat.

Insiden itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

Ada yang beranggapan peserta berkenaan terlalu keletihan hingga tersilap mengira pusingan, manakala ada juga yang mendakwa dia mungkin tertipu dengan kedudukan beberapa individu yang duduk di bawah teduhan matahari lalu menyangka itulah garisan penamat sebenar.

Kejadian tersebut menjadi peringatan kepada para atlet agar sentiasa peka terhadap struktur dan aturan pertandingan, terutama dalam acara jarak jauh yang memerlukan fokus dan stamina tinggi hingga ke garisan penamat yang sebenar.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak penganjur mahupun atlet wanita terbabit berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram