'Tapau' sampai 40 projek, warga asing tutup rezeki rakyat tempatan tawar servis ubah suai di Lembah Klang


  • Massa
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Warga asing didakwa memonopoli servis ubah suai rumah di tapak penyerahan kunci rumah baru hingga menyukarkan kontraktor tempatan untuk bersaing. — Gambar hiasan

SEORANG kontraktor tempatan meluahkan rasa tidak puas hatinya mengenai situasi semasa di tapak-tapak penyerahan kunci perumahan baru sekitar Lembah Klang terutamanya di Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam satu hantaran yang kini tular di Facebook, individu yang dikenali sebagai Nadzri Sazali itu mendedahkan bagaimana pekerja asing yang dilaporkan majoritinya warga Bangladesh dilihat sudah bersedia lebih awal ketika penyerahan kunci untuk menawarkan pelbagai servis kepada pemilik rumah baharu.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pemasangan langsir, plaster siling, kerja-kerja pendawaian elektrik dan pemasangan gril.

BACA LAGI: Bukan hanya sukses atas padang, Kuching City berjaya hidupkan karier 3 bintang

BACA LAGI: Siasatan dalaman telah dimulakan, Sabah ambil serius isu coach futsal ditumbuk staf sendiri

"Kalau kau nak tahu, inilah 'pemandangan' di hari serahan kunci projek-projek. Bersusun 'taukey' warga asing sudah standby,” katanya.

Menurut kontraktor itu lagi, dia secara peribadi yang menjalankan perniagaan kabinet tidak terlalu terjejas kerana menyasarkan pelanggan yang mengutamakan kualiti.

Namun, untuk kerja-kerja seperti wiring dan plaster siling, persaingan dikatakan amat sengit.

Tambah membimbangkan, hasil kerja yang tidak menepati standard serta isu keselamatan mula timbul.

"Belum cerita hal teknikal wiring, mereka ini main looping guna cable kecik janji hidup. Yang tak tahu, mampuih keras," ujarnya. 

Lebih mengejutkan, individu tersebut juga mendedahkan bahawa ada pekerja asing yang dikatakan mampu ‘menawan’ sehingga 40 unit rumah dalam satu projek.

"Ada sorang Bangla ini aku bual, dia sorang saja tapau 40 rumah dalam satu projek, dekat situ lah dia buat defect, situ lah dia buat projek, situ jugak lah dia tidur. Guard pun orang dia, apadehal,” tambahnya. 

Isu itu turut memberi kesan jangka panjang apabila pendapatan warga asing tidak dibelanjakan dalam negara, sekali gus menjejaskan aliran ekonomi dan usahawan tempatan.

"Diorang (mereka) jenis kumpul duit hantar kampung. Mana ada nak shopping, beli churros petang-petang. Duit tak berpusing dalam negara,” katanya lagi.

Hantaran tersebut menutup dengan seruan agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas sebelum situasi tersebut menjadi lebih parah dan terus meminggirkan kontraktor serta usahawan tempatan yang bersaing secara adil.

"Sebelum menjadi lebih parah, this has to stop,” tegasnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram