‘Nak tunggu apa lagi?’, padang semula jadi pertama diiktiraf FIFA, Tok Gajah dituntut sesuatu menjelang Liga Super musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Darul Makmur menjadi stadium pertama menggunakan padang rumput asli pertama.

PADANG Stadium Darul Makmur mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi padang rumput asli (natural grass) pertama di Malaysia yang menerima pensijilan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Program Kualiti FIFA untuk Permukaan Padang Semula Jadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Exco Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan & Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, yang menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai pencapaian membanggakan bukan sahaja untuk negeri Pahang, malah untuk negara.

BACA LAGI: Sri Pahang antara 11 kelab dapat lesen, MFL tolak permohonan Kedah-Perak

BACA LAGI: Bukan Selangor, Patrick Vieira Sri Pahang mungkin lencong ke JDT

“Sukacita saya maklumkan bahawa Padang Stadium Darul Makmur kini diiktiraf sebagai padang rumput asli pertama di Malaysia yang menerima pensijilan FIFA. 

"Lebih membanggakan, ia berjaya meraih penarafan ‘Excellent’ dengan markah 93 peratus menerusi penilaian penuh oleh konsultan bertauliah FIFA, Acousto-Scan Pty Ltd., pada 23 hingga 24 April 2025,” katanya memetik kenyataan pada Jumaat. 

Menurut Fadzli, pengiktirafan itu membuktikan kejayaan aspek teknikal dan penyelenggaraan padang, sekali gus membuka peluang kepada penganjuran perlawanan bola sepak bertaraf antarabangsa di negeri ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa padang bertaraf dunia itu mampu mengurangkan risiko kecederaan pemain serta menyokong peningkatan prestasi atlet menerusi pendekatan sains sukan yang lebih efektif.

“Pencapaian ini bukan sahaja bersejarah, malah menjadi bukti keupayaan Kerajaan Negeri Pahang dalam merealisasikan pembangunan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu.

Seiring dengan pencapaian venue rasmi Sri Pahang itu, penyokong Tok Gajah pada masa sama mengharapkan pihak pengurusan kelab juga akan memberikan aksi terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025. 

Terdahulu, Sri Pahang FC merupakan salah satu daripada 11 kelab menerima Lesen Kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) walaupun pada mulanya pasukan Pantai Timur berkenaan dikatakan akan menarik diri.

"Harapnya pasukan Pahang dapat merasmikan padang ini nanti pada pembukaan Liga Super 2025/2026," kata penyokong Tok Gajah, Hasrul Hayyun Hassan. 

"Padang dah okey dan cantik, harapnya Sri Pahang FC pun bertambah baik pada musim depan," komen penyokong Sri Pahang, Shahrum Abd Rahman. 

"Alhamdullilah. Harap bola pahang pun menjadi juga musim 2025/2026," komen seorang lagi penyokong, Sakaki Pex Cameron Crewzs. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram