
PEMAIN baharu Harimau Malaya, Gabriel Palmero akhirnya meraih penampilan pertama bersama skuad kebangsaan apabila tonggak warisan itu diturunkan dalam aksi persahabatan Tier 1 Malaysia menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.
Palmero melakukan debut pertamanya bersama bek tengah Terengganu FC (TFC), Ubaidullah Shamsul Fazili dengan kedua-duanya disenaraikan sebagai kesebelasan utama dalam aksi yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 tersebut.
Selain aksi bersemangat yang ditunjukkan Palmero sebagai pertahanan kanan pada perlawanan itu, percubaannya menyanyi lagu Negaraku sebelum sepak mula turut mencuri tumpuan dengan ramai penyokong tanah air memuji usahanya.
BACA LAGI: Hanya guna kerusi pejabat di tepi padang, Cape Verde buktikan wang ringgit tak boleh beli kualiti
BACA LAGI: [VIDEO] Akui terima banyak tawaran, Paulo Josue berat hati tinggalkan Kuala Lumpur
Berkongsi mengenai hal berkenaan, pemain CD Tenerife B itu mengakui mempelajari setiap bait-bait lirik Negaraku menerusi platform Youtube dan Palmero juga cuba memahami maksud di sebalik lagu kebangsaan berkenaan.
"Saya mencuba untuk nyanyi lagu Negaraku. Saya telah melihat lirik di YouTube. Saya banyak berlatih untuk menyanyi lagu Negaraku dan saya faham maksudnya," katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang negara di tangga ke-79 dunia itu.
Walaupun sudah membuat penampilan sulung dalam perlawanan itu, Palmero masih belum berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan dan berazam untuk terus bekerja keras dalam usaha memperbaiki tahap permainannya.
Menurutnya, menjadi keutamaan untuk sentiasa memberikan aksi terbaik setiap kali diberi peluang menyarung jersi kebangsaan, sebagai tanda komitmen dan tanggungjawab terhadap pasukan negara.
Tambahnya, meskipun tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, ia bukanlah satu halangan besar buat dirinya untuk berkomunikasi dengan rakan sepasukan sama ada di dalam mahupun di luar padang.
"Saya sangat gembira dapat beraksi untuk negara ini. Saya akan melakukan yang terbaik. Ia (debut) tidak terlalu buruk, tetapi saya perlu melakukan lebih baik dan menambah baik kualiti dan melakukan yang terbaik.
"Bahasa Inggeris saya tidak terlalu baik tetapi saya mencuba untuk bercakap. Bahasa bola sepak membantu saya berkomunikasi dengan rakan-rakan saya," kongsi pemain warisan Malaysia-Sepanyol itu.
Kesebelasan utama skuad kebangsaan menentang Cape Varde. — Facebook/MalaysiaNT
Kelibat pertama Palmero bersama Harimau Malaya ketika menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan untuk perlawanan aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada bulan lalu.
Bagaimanapun, Palmero tidak diturunkan dalam perlawanan yang menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan 175 dunia itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram