
PERSEMBAHAN pembukaan rasmi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) pada Selasa mendapat sambutan hangat daripada seluruh masyarakat.
Selain persembahan udara tiga pesawat F/A-18D Hornet dan tiga pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), letupan bom juga memeriahkan suasana acara tersebut.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, segelintir penduduk mendakwa terpaksa berdepan dengan masalah seperti kerosakan pada struktur rumah.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Axia merah bawa barang lebih muatan di Sepang mengaku ada masalah kesihatan
Menerusi video tular di media sosial sejak Rabu, kesan letupan yang dikatakan tiga kali ganda lebih kuat berbanding sebelum ini menyebabkan siling, tingkap dan dinding beberapa buah rumah pecah.
Susulan itu, rata-rata penduduk yang terjejas juga berharap pihak LIMA'25 dapat bertanggungjawab memberi ganti rugi untuk menanggung kos membaiki struktur yang rosak.
"Maklum pada penganjur nanti mereka (pihak LIMA'25) akan datang melawat," komen Mohd Fadzli Fadzli.
"Jangan bimbang pihak LIMA akan bayar dan tunjukkan bukti sahaja sebab saudara saya cermin tingkap pecah dan terus lapor dan mereka terus ganti," tambah Raziman Ahmar.
Ia juga selari dengan kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) sebelum ini yang akan mengambil tindakan wajar bagi memastikan keselamatan sejagat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga berjanji untuk bertindak adil kepada penduduk yang terkesan tanpa berlengah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram