
PADA 2019, tujuh penjual buku yang memiliki pengkhususan dalam perniagaan buku terpakai bergabung bagi membentuk kolektif dikenali sebagai Pertubuhan Kota Buku Bangi.
Beroperasi di Bazar Karat Streetmall di Bangi Gateway, Selangor, kolektif penjual buku itu diasaskan bagi menyokong kumpulan perniagaan tersebut.
Bagaimanapun, selepas beberapa tahun beroperasi, pihak pengurusan pusat perniagaan terbabit membuat keputusan menutup operasi bazaar di premis terbabit.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
Situasi itu kemudiannya memaksa mereka untuk mencari tempat baharu untuk berniaga.
Namun, seperti kata pepatah lama, apabila satu pintu tertutup, akan ada pintu lain yang terbuka.
Kompleks Perhentian Kajang kini mempunyai fungsi baharu selepas lima penjual buku terpakai dari Bangi Gateway berpindah ke kompleks itu untuk mewujudkan hab buku.
Lima daripada penjual buku itu mengambil langkah untuk berpindah ke Kompleks Perhentian Kajang di Selangor.
Antaranya ialah Che Mohamad Dollah, atau Che Mat, yang mengendalikan GMS Buku.
Sebagai timbalan pengerusi kolektif itu, Che Mat turut berkongsi unit sewa bersama Koleksi Bonda Zaleha.
"Apabila bazar ditutup, kami berbincang mengenai tempat baharu yang hendak kami pergi dan memilih Kajang kerana jarak dan ketersambungannya.
“Lebih baik jika kita semua berada di satu lokasi.
“Terdapat banyak unit kosong juga, jadi kami mempunyai pilihan sewa dan boleh menjemput lebih ramai penjual buku untuk menyertai kami.
“Memandangkan kami telah bertapak di Bangi Gateway, kami perlu memaklumkan kepada orang ramai tentang lokasi baharu kami,” tambahnya.
Hentian buku Selangor
Abdul Halim, juga dikenali sebagai Cheklem, menawarkan jualan koleksi peribadinya dan juga naskhah diperolehi daripada kedai buku yang sudah ditutup operasinya.
Di Kajang, kumpulan penjual buku terbabit menjenamakan semula tempat mereka sebagai Hentian Buku Selangor, sebuah hab yang kini menunjukkan proses berkembang.
Acara seperti forum dan pesta buku telah memberi nafas baharu kepada kolektif tersebut yang turut menjemput individu untuk menjual koleksi peribadi dengan bayaran kecil dan menggalakkan kelangsungan operasi melalui galakan jual beli buku terpakai.
Turut menyertai hab buku itu ialah perniagaan seperti Coretan Buku Terpakai dan The Bibliophile Bookshop.
Pemilik Coretan Buku Terpakai, Abdul Halim Ismail atau lebih dikenali sebagai Cheklem melihat potensi yang wujud di pusat perniagaan tersebut.
"Saya tinggal di Puchong dan mempunyai kedai di sana. Saya telah menjual buku dalam talian sejak lewat 90-an dan pergi sepenuh masa selepas bersara awal kira-kira 10 tahun lalu.
"Ruang ini membolehkan pelanggan melihat buku secara peribadi," katanya.
Sikap amanah pencinta buku
Walaupun tidak selalu berada di kedainya di Kajang, Cheklem memberikan kepercayaannya kepada Che Mat untuk menjaga premisnya.
Amalan itu sekali gus menggambarkan betapa tingginya kepercayaan yang wujud dalam komuniti perniagaan tersebut.
Kiridaren percaya hab buku baharu itu mempunyai potensi besar kerana lokasinya bersebelahan stesen bas dan berdekatan dengan UKM.
"Semua buku saya diletakkan harga dengan jelas. Pembaca tidak mencuri, pencuri tidak membaca," ujarnya secara berseloroh.
"Saya mempunyai pelanggan tetap, dan setakat ini operasi kedai saya berjalan dengan baik," tambahnya.
Menyentuh mengenai pilihan buku di kedainya, Cheklem memaklumkan ia tediri daripada koleksi peribadi dan naskhah yang dibeli daripada kedai buku yang mengalami penutupan operasi.
“Masih banyak nilai yang dibawa oleh buku-buku ini.
"Saya bermula dengan menjual koleksi saya kerana ia mengambil terlalu banyak ruang di rumah.
"Saya bersyukur kerana minat terhadap buku telah bertukar menjadi perniagaan yang membantu orang ramai.
"Bagi pembaca tegar, isi kandungan adalah lebih penting berbanding penampilan buku. Selagi buku itu dalam keadaan baik dan boleh dibaca, ia mempunyai nilai yang boleh diterima," katanya.
Nor Baharuddin Jidin, pelanggan tetap di lokasi tersebut turut menghargai tawaran yang terdapat daripada buku terpakai.
"Buku baru selalunya mahal. Saya suka buku tentang peningkatan diri dan Islam. Cheklem mempunyai pilihan genre yang baik.
"Jika anda membeli untuk membaca, ia adalah tawaran yang bagus," katanya.
Lokasi dengan potensi yang baik
Kiridaren Jayakumar, pengasas The Bibliophile Bookshop, adalah salah seorang penjual buku terawal yang berpindah ke lokasi baharu.
"Selepas kejayaan kedai buku pertama saya di Petaling Jaya, saya mahu menjangkau khalayak lebih besar. Saya melihat potensi besar di tempat baharu ini.
“Selain berdekatan dengan stesen bas, ia juga hampir dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jadi pelajar boleh datang ke sini untuk mendapatkan bahan bacaan.
"Kompleks ini juga menempatkan beberapa agensi kerajaan, meningkatkan trafik pengunjung pada hari bekerja.
"Suasana pada hujung minggu biasanya agak lengang melainkan jika kami menganjurkan acara untuk menarik orang ramai," katanya.
Zari (kiri) melayani pengunjung di gerainya di pasar lambak di Amcorp Mall.
Walaupun kompleks itu pada masa ini tidak mempunyai banyak tempat tarikan di sekitarnya. Kiridaren berkata, ramai penjual mempunyai cara lain untuk mendapatkan keuntungan.
“Terdapat platform dalam talian di mana pelanggan boleh menghubungi kami.
"Bagaimanapun, jualan terbaik biasanya datang dari pesta buku, yang menarik ramai orang," katanya.
Pelancaran rasmi Hentian Buku Selangor pada Disember lalu turut dihadiri Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Syahredzan memuji inisiatif itu sambil menyatakan bahawa kewujudan hab interaktif untuk pencinta buku adalah sesuatu yang mengagumkan.
Dengan sokongan yang betul, beliau percaya Hentian Buku Selangor boleh menjadi mercu tanda baharu dan membantu mempromosikan budaya membaca.
“Lokasinya juga berhampiran Bandar Baru Bangi, dikenali sebagai Bandar Ilmu. Membaca membuka imaginasi tanpa had.
“Saya berharap orang ramai akan menyokong inisiatif ini dengan mengunjungi kedai buku dan membuat pembelian,” ujarnya.
Menemui khazanah tersembunyi
Antara daya tarikan memburu buku terpakai adalah ketika pembaca menemui naskhah yang disifatkan sebagai 'permata tersembunyi' ketika membelek koleksi pilihan ditawarkan.
Azhari Mahmood, penjual buku terpakai yang arif terhadap koleksi buku langka turut berkongsikan sentimen serupa.
“Saya menjual buku terpakai dan barangan berkaitan di sebuah kiosk di pasar lambak hujung minggu di Amcorp Mall, Petaling Jaya.
"Sebahagiannya saya beli daripada penjual lain di pasar lambak," katanya.
Menurut beliau, untuk mengenal pasti kualiti buku terpakai, ia memerlukan pengalaman, pengetahuan dan pandangan yang tajam ketika pembeli menilik pilihan buku yang ditawarkan.
Beliau yang turut dikenali dengan panggilan Zari berkata, ramai individu menyimpan buku berharga di rumah mereka terutama berkaitan dengan zaman penjajahan British yang memfokuskan kepada budaya, manusia dan sejarah.
Kolektif di bawah inisiatif Hentian Buku Selangor mengadakan acara seperti pameran buku di Kompleks Perhentian Kajang yang memberi peluang kepada individu menjual koleksi peribadi pada harga cukup rendah.
“Saya banyak berjalan ke luar negara untuk mendapatkan buku seperti itu, yang dijual pada harga jauh lebih tinggi di Malaysia kerana permintaan tinggi,” katanya.
Izzudin Harith, salah seorang pelanggan tetap Zari, berkata, beliau cukup menghargai perasaan nostalgia yang timbul dalam membeli buku terpakai.
"Terdapat kepuasan dalam memahami persepsi cerita pada masa ia ditulis," katanya.
"Walaupun sejarah kekal tidak berubah, persepsinya berkembang dari semasa ke semasa."
“Sebagai contoh, sebuah buku mengenai ekspedisi Gunung Everest yang ditulis pada tahun 1920-an menerangkan penjelajahan awal dan percubaan untuk mencapai puncak tertinggi di dunia.
"Melalui buku itu, saya merasai cabaran dan keazaman pendaki gunung ketika itu. Malahan, saya pun belum dilahirkan ketika buku itu diterbitkan, tetapi ia memberi inspirasi kepada saya untuk melawat Gunung Everest," katanya.
Izzudin yang menetap di Petaling Jaya, berkata, dia membeli buku daripada semua genre bacaan untuk mengisi masa lapangnya.
"Saya mempunyai ladang dan sering membawa buku untuk dibaca di sana. Saya juga mempunyai minat untuk mengembara.
"Sebelum mengembara, saya suka membaca tentang tempat yang saya rancang untuk melawat, untuk menghargai sepenuhnya apabila saya tiba di sana," katanya. — The Star/VIJENTHI NAIR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram