Walau proses dokumentasi rumit, Nadiah berjaya 'terbangkan' keluarga pembantu rumah ke Melaka, kejutan istimewa Aidilfitri


  • Relaks
  • Isnin, 07 Apr 2025

Pembantu rumah Nadiah yang disapa sebagai 'bibik Mala' tidak dapat menahan sebak sejurus selepas melihat kehadiran insan tersayang. — TikTok/@nadiahmdin

PELAKON Singapura, Nadiah Din, menjentik hati warga maya selepas memuat naik satu video di TikToknya yang memberi kejutan istimewa untuk pembantu rumahnya sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Dalam video berdurasi lebih seminit itu, Nadiah membawa dua anak dan ibu kepada pembantu rumahnya dari Indonesia, tanpa pengetahuan wanita tersebut.

Namun, pelakon berusia 35 tahun itu mendedahkan proses tersebut tidak berjalan lancar.

BACA LAGI: [VIDEO] Bahaya tak kira musim raya, lelaki jangan ambil mudah isyarat tangan wanita

BACA LAGI: Dua pelajar wanita Malaysia cipta sejarah, raih tempat di Kolej Harvard

Nadiah (belakang, kiri) dan keluarga kini menetap di Melaka. — Instagram/@nadiahmdin

Perkongsian itu dibuat selepas salah seorang pengikutnya terinspirasi untuk melakukan perkara sama sehingga bertanyakan proses dokumentasi.

Menerusi ruangan komen, Nadiah mengakui berdepan masalah dokumentasi, terutamanya berkaitan pasport dua anak pembantu rumahnya yang masih di bawah umur.

"Proses pasport untuk ibu (ibu kepada pembantu rumah) agak mudah, tetapi untuk dua anaknya sangat rumit. Mereka memerlukan kelulusan ibu bapa kerana masih di bawah umur," komen Nadiah.

Selain itu, pihak imigresen Indonesia memerlukan foto kad pengenalan ibu mereka untuk memproses passport dan urusan itu mengambil masa lebih lama daripada dijangka.

Tidak berputus asa, Nadiah menghubungi suami pembantu rumahnya untuk meyakinkan imigresen mengenai situasi tersebut dan akhirnya memutuskan untuk membayar express lane bagi mempercepatkan proses.

Ibu kepada empat orang anak itu turut mengambil langkah berani dengan 'mengambil' kad pengenalan pembantu rumahnya secara senyap-senyap.

"Saya secara diam-diam mengambil KTP (kad pengenalan) Mala dan menghantarnya ke imigresen untuk proses lanjut," katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial yang memperlihatkan Nadiah memberi kejutan kepada pembantu rumahnya dengan menerbangkan ibu dan dua orang anak pembantu rumahnya ke Melaka sempena Aidilfitri.

Dalam kejutan yang dirancang selama empat bulan itu, Nadiah mereka satu cerita palsu kononnya mereka akan menerima tetamu warga Perancis yang memeluk Islam dan kini menetap di Indonesia.

Pembantu rumahnya diminta menyediakan lauk raya dan sambal balado atas alasan tetamu tersebut ingin mencuba makanan tradisional Indonesia.

“Alhamdulillah, bibik saya dipertemukan semula dengan dua anak dan ibu kandungnya untuk raya kali ini” tulis Nadiah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram