[VIDEO] Sebiji gol ibarat kemenangan, fans Kedah harap anak Baling dijaga molek-molek


  • Podium
  • Ahad, 30 Mac 2025

Afeeq Iqmal (kanan) menjaringkan gol sagu hati dalam kekalahan 1-6 skuad Sang Kenari kepada JDT. — Facebook/KDA FC

SATU lagi kekalahan memalukan dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini selepas mereka ditundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-6 di laman sendiri pada Sabtu.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Harimau Selatan yang hadir sebagai pasukan pelawat mudah menjaringkan enam gol dengan tiga daripadanya disumbang Bergson da Silva.

Bagaimanapun, kira-kira 1,000 penyokong tuan rumah yang turun ke Stadium Darul Aman, Kedah masih boleh tersenyum kerana anak-anak buah Victor Andrag masih berjaya menembusi gawang pihak lawan.

BACA LAGI: Hatrik Bergson kuasai Darul Aman, momen anak jati Baling ‘ayam-ayamkan’ Syihan ubati hati fans Kedah

BACA LAGI: Rasai kemenangan lepas sekian lama tapi fans NSFC lebih berang bek Kedah tak dibuang padang

Jaringan tersebut dihasilkan pemain muda pasukan, Afeeq Iqmal Rosli yang meledak pada minit ke-34 perlawanan menerusi satu acahan menarik sehingga berjaya menewaskan Syihan Hazmi.

Selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan, pemain berusia 25 tahun itu mengelirukan penjaga gol JDT tersebut sebelum melambungkan bola yang kemudian gagal ditampan pihak lawan.

Gol tersebut sedikit sebanyak mengubati hati penyokong KDA FC yang terpaksa menelan kekalahan ke-10 dalam Liga Super musim ini selain menyaksikan JDT berpesta jaringan sekali lagi di Stadium Darul Aman.

Malah, sebahagian peminat setia Sang Kenari turut berharap anak jati Baling, Kedah itu dapat dikekalkan sekiranya kelab Utara tanah air tersebut terus beraksi dalam divisyen teratas bola sepak tanah air.

"Walaupun hanya sebiji, tetapi cara jaringan amat-amat berbaloi. Cukup kemas," kata MrThor.

Jaringan Afeeq Iqmal jelas membawa keriangan buat skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

"Jujur cakap, anda boleh gilap bakat muda yang berada dalam skuad Bawah 18 Tahun (B-18) dengan cukup baik. Untuk jangka masa panjang, saya yakin akan ada hasil dan mampu bersaing dalam Liga Super," kata Husaini Ishak.

"Cantik gol ini, terserlah kesilapan penjaga gol, diayam-ayamkan sahaja," kata Deen Ezya.

Musim ini, Afeeq Iqmal sudah beraksi 29 kali buat pasukan Utara tanah air itu dengan 16 daripadanya disaksikan dalam saingan Piala MFL. Dia juga berjaya mencatatkan lapan gol dalam kejohanan tersebut.

Sekiranya KDA FC tidak lagi bersaing dalam Liga Super musim depan, terdapat kemungkinan dia akan disambar mana-mana pasukan yang berminat seperti Penang FC mahupun Selangor FC.

Bagaimanapun, sebelum boleh melangkah ke tahap lebih tinggi, dia terlebih dahulu perlu membuktikan konsistensi setiap kali diberikan kepercayaan oleh Victor Andrag menjelang penuntup kempen musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram