Sebelum sertai JDT, 3 import terlebih dulu pernah calar ego, robek gawang Harimau Selatan


  • Podium
  • Ahad, 30 Mac 2025

Rodriguez (berjersi nombor sembilan) ketika bersama kelab Filipina, Ceres-Negros FC. — Agensi

KEUNGGULAN kelab elit Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak usah diperkatakan lagi dengan Harimau Selatan juga merupakan kelab bola sepak terbaik di Asia Tenggara selepas mencatat pencapaian cemerlang di peringkat domestik dan antarabangsa. 

Sejak penubuhannya, JDT telah memenangi 11 kejuaraan Liga Super berturut-turut termasuk saingan liga musim ini dengan menjadikannya kelab paling dominan dalam sejarah bola sepak Malaysia. 

Di peringkat antarabangsa pula, Harimau Selatan musim ini menghabiskan perjuangan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) sehingga ke pusingan 16 terbaik selepas terpaksa akur kepada Buriram United. 

BACA LAGI: Kami jumpa JDT dalam mood terbaik sebelum Aidilfitri — Ariff Farhan

BACA LAGI: Aksi Kedah-JDT dijangka hangat dengan kepulangan 'maestro' Harimau Malaya

Di peringkat pengurusan, JDT terkenal dengan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia, termasuk Stadium Sultan Ibrahim yang moden serta pusat latihan canggih. Mereka mengamalkan sistem pentadbiran profesional yang mencontohi model kelab-kelab gergasi Eropah. 

Dengan segala kelebihan yang ada pada Harimau Selatan itu, tidak hairan jika ramai pemain termasuk bintang bola sepak dunia dan bahkan bekas import cemerlang pasukan lain berminat untuk menyarung jersi JDT.

Lebih menarik, apabila dalam kalangan pemain import berkenaan sebenarnya pernah menambah derita Harimau Selatan dengan menjaringkan gol menentang mereka.

Prestasi cemerlang ketika beraksi sebagai lawan akhirnya membuka peluang buat mereka untuk menjadi sebahagian JDT.

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain terlebih dahulu robek gawang Harimau Selatan sebelum menandatangani JDT;

1) Heberty Fernandes 

Heberty ketika mewakili Muangthong United. — Agensi

Penyerang prolifik dari Brazil, Heberty Fernandes pernah menjadi ancaman buat JDT sebelum bergelar pemain Harimau Selatan apabila dia pernah menjaringkan gol menentang Harimau Selatan dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2018.

Heberty yang ketika itu menyarung jersi Muangthong United menjaringkan dua gol dan satu bantuan jaringan untuk membantu kelab Thailand berkenaan menewaskan Harimau Selatan dengan keputusan 5-2. 

Prestasi cemerlangnya sebagai penyerang berbisa menarik perhatian JDT dan akhirnya menyaksikan pada musim 2023 menyaksikan penyerang kelahiran Brazil itu menyertai JDT dari kelab Thailand, Bangkok United FC.

Keupayaan Heberty dalam menjaringkan gol dari pelbagai sudut serta pengalaman luasnya di liga Asia menjadikannya aset berharga bagi Harimau Selatan, selain kehadirannya memberi tambahan kekuatan di bahagian serangan. 

Musim 2024/2025 menyaksikan penyerang berusia 36 tahun berkenaan masih membuktikan ketajamannya dengan menjaringkan 16 gol dan 10 bantuan jaringan dalam 37 perlawanan Heberty diturunkan.

2) Fernando Rodriguez

Rodriguez ketika bersama Kedah pada musim 2019. — Facebook/KDAFC

Fernando Rodriguez, penyerang berbisa dari Sepanyol pernah menjadi ancaman buat JDT ketika beraksi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim 2019 sebelum akhirnya menyertai skuad Harimau Selatan pada tahun berikutnya. 

Dalam saingan Liga Super Malaysia pada musim 2019, Rodriguez pernah merobek gawang JDT membuktikan ketajamannya sebagai penjaring prolifik dengan menjaringkan satu gol untuk membantu mengikat JDT dengan keputusan 1-1. 

Sebelum bersama Kedah, pemain yang kini berusia 37 tahun berkenaan pernah membolosi gawang JDT ketika bersama kelab Filipina, Ceres-Negros FC. Rodriguez menjaringan dua gol dalam dua pertemuan kejohanan Piala AFC 2017. 

Rodriguez bagaimanapun diletakkan dalam pasukan pembangunan JDT II bagi memastikan bahagian pembangunan kelab itu mendapat manfaat dengan adanya dua pemain dalam pasukan mereka. Bersama skuad utama, Rodriguez hanya tampil dalam tujuh perlawanan. 

Selepas meninggalkan JDT pada musim 2022, pemain tengah berketinggian 1.83 meter itu menyertai Persis Solo di Indonesia dan kini bersama kelab berpangkalan di Sepanyol, Real Jaen CF.

3) Mohamad Ghaddar 

Ghaddar sertai JDT pada musim 2017. — Facebook/JDT

Penyerang berbisa dari Lubnan, Mohamad Ghaddar pernah menjadi duri dalam daging buat JDT ketika dia bergelar sebagai pemain Kelantan dan akhirnya menyertai skuad Harimau Selatan pada musim 2017. 

Ketika beraksi bersama Kelantan FA, ketajamannya di hadapan gol serta kemampuannya mengucar-ngacirkan pertahanan lawan menjadikannya antara pemain yang paling digeruni di liga tempatan.

Perpindahan saga bekas penyerang skuad Lubnan berkenaan dari skaud The Red Warriors (TRW) ke JDT pada 2017 itu dipercayai membabitkan bayaran paling tinggi dalam sejarah bola sepak tempatan.

Secara keseluruhan Ghaddar beraksi di Malaysia selama tujuh musim sejak 2012. Sepanjang tempoh itu, Ghaddar pernah datang dan pergi bersama Kelantan sebanyak empat kali, selain daripada aksi selama dua musim bersama JDT – dan Felda United sebelum itu.

Sepanjang beraksi dalam saingan Liga Malaysia, Ghaddar telah merekodkan lebih 50 gol dan meraih 7 kejuaraan dalam saingan domestik antaranya Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran bersama pasukan Kelantan dan JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram