Peniaga bazar Ramadan masih berdegil guna 'stapler', tak peduli soal keselamatan pembeli, kanak-kanak


  • Massa
  • Jumaat, 07 Mac 2025

Masih ada peniaga bazar Ramadan yang menggunakan dawai kokot dalam pembungkusan makanan. — Gambar Hiasan

MESKIPUN penggunaan dawai kokot (stapler) dalam pembungkusan makanan boleh mendatangkan risiko kecederaan serius, segelintir peniaga bazar Ramadan masih berdegil menggunakannya terutamanya dalam penyediaan kuih-muih seperti tepung pelita dan pulut panggang.

Buktinya, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, sebelum ini dilaporkan masih mengesan penggunaan itu di Johor susulan operasi pemeriksaan bazar Ramadan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ). 

Ini sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warganet yang beranggapan ia mampu mengundang risiko buat pembeli. 

BACA LAGI: Sampai 3 kali kena saman sehari, penduduk Kuchai Entrepreneurs Park harap DBKL sedia pelekat bulanan

BACA LAGI: 'Maafkan tapi enggan jumpa', bapa Zulfarhan lebih terkenangkan puasa tanpa anak kesayangan buat tahun ke-8

Seorang pengguna media sosial, Ismail Ahmad berpendapat bahawa aspek keselamatan tidak boleh diabaikan meskipun daun pisang merupakan elemen penting dalam kuih tradisional seperti tepung pelita.

“Tanpa daun pisang, tepung pelita memang kurang ‘surrr’, tapi keselamatan peminat kuih ini pun perlu diambil kira. Takut-takut tertelan dawai kokot tu,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Azahari Naman berkongsi pengalamannya menegur peniaga yang menggunakan stapler dalam pembungkusan makanan.

“Saya pernah tegur peniaga guna stapler satu ketika dulu, tapi dia menjelingkan saya. Kalau kita jenis pemalas, tak payah berniagalah.

"Semua nak senang, padahal atas dunia ini tiada benda yang senang untuk berjaya,” katanya.

Che Mustafha turut menekankan bahaya penggunaan dawai kokot terutama kepada kanak-kanak. 

“Amat bahaya terutama kepada kanak-kanak. Biasanya, dawai kokot digunakan untuk mengikat bekas tepung pelita,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna lain, Zul Hazrey mencadangkan penggunaan alternatif lain bagi menggantikan dawai kokot dalam pembungkusan makanan.

“Kalau tak silap, cara lain boleh guna lidi kecil. Jangan sampai kuih ini diharamkan pula… tiap-tiap tahun isu sama sahaja,” katanya.

Mengikut Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pengendali makanan diwajibkan memastikan pembungkusan makanan bebas daripada bahan pencemaran seperti paku dan dawai kokot yang boleh membahayakan pengguna. 

Peniaga yang melanggar peraturan itu boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram