
KERAJAAN Negeri Sabah disaran melantik wakil di setiap daerah bagi memantau keadaan jalan raya secara berkala bagi mengelakkan kemalangan maut akibat jalan berlubang yang sering berulang.
Langkah itu dilihat penting bagi memastikan infrastruktur jalan sentiasa dalam keadaan selamat dan boleh digunakan oleh pengguna tanpa risiko kecelakaan.
Keadaan jalan yang rosak, terutama berlubang, sering menjadi punca kemalangan, khususnya kepada penunggang motosikal dan kenderaan kecil.
BACA LAGI: [VIDEO] Nasib tak kena telan, gadis duyung hampir dimakan ikan gergasi dalam akuarium di China
Saranan itu juga dibuat selepas seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas setelah terlanggar lubang berhampiran Jejambat Lido, Jalan Lintas dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.
Difahamkan, ketika kejadian , mangsa dipercayai terlanggar lubang pada permukaan jalan raya yang rosak di lorong tengah jalan raya.
Akibat daripada kemalangan itu, mangsa terbabas sebelum terjatuh kira-kira enam meter ke arah hadapan di atas jalan raya.
Rakyat negeri Sabah mencadangkan kerajaan untuk melantik wakil di setiap daerah bagi memantau keadaan jalan raya secara berkala bagi mengelakkan kemalangan maut akibat jalan berlubang yang sering berulang. — Gambar/Facebook Christianto Mogolid
Kemalangan itu turut menjadi bualan dalam kalangan warga maya dan sehingga ada yang mencadangkan seorang wakil perlu dilantik di setiap daerah dalam mengenal pasti serta melaporkan kerosakan jalan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan segera.
"Sepatutnya kerajaan negeri kena lantik setiap daerah atau pekan ini kena ada yang meronda memeriksa mana-mana jalan yang ada masalah terus atasi masalah itu.
"Bukan tunggu ada yang mati atau tunggu aduan baru buat kerja. Bukan semua orang pandai buat aduan dan terlalu banyak prosedur," tulis Shukri Amid.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook Alvin Mathius meluahkan rasa kecewa dengan Jabatan Kerja Raya negeri Sabah.
Dakwanya, kemalangan maut seperti itu tidak akan berlaku sekiranya kakitangan jabatan tersebut kerap membuat pemeriksaan berkala.
"JKR Sabah perlu lebih proaktif dalam menangani isu ini agar kejadian kemalangan akibat jalan berlubang dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di Sabah.
"Lihat sahaja jalan di Sabah, kebanyakannya keadaan jalan berada dalam keadaan teruk walaupun di bandar.
Pada masa sama, Mary Davis mencadangkan agar kerajaan dapat mencipta satu aplikasi khas bagi membuat aduan berhubung masalah jalan berlubang di Sabah.
"Penggunaan teknologi seperti aplikasi aduan berasaskan telefon pintar boleh diperkenalkan bagi mempercepatkan proses laporan dan pembaikan jalan raya," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram