MISI Terengganu FC untuk mendapatkan tiga mata penuh dalam Piala Shopee tercapai selepas pasukan itu menundukkan kelab Indonesia, PSM Makassar dalam aksi keempat peringkat kumpulan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu.
Perlawanan bermula dengan cukup baik daripada kedua-dua pasukan, terutamanya daripada tuan rumah yang memaksa penjaga gol lawan melakukan beberapa tepisan penting.
Namun, ia tidak bermakna kubu mereka tidak diasak sepanjang 45 minit pertama sehingga menyaksikan Rahadiazli Rahalim perlu bertindak pantas bagi memastikan pintu gawang tidak dibolosi.
BACA LAGI: Jelajah trofi Piala Shopee: Peluang temui Safawi, Brendan Gan di Cheras
Gol Safawi sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Bersambung babak kedua, serangan diteruskan anak-anak buah Badrul Afzan Razali dalam misi mencari gol pembukaan untuk memastikan mereka memiliki kelebihan selesa.
Usaha berkenaan akhirnya tercapai apabila memasuki minit ke-60 permainan, pengadil memberikan sepakan penalti selepas hantaran Nurillo Tukhtasinov mengenai tangan pemain gantian PSM Makassar, Ananda Raehan.
Sepakan itu kemudiannya disempurnakan Safawi Rasid yang mudah menewaskan Reza Arya Pratama untuk meletakkan skuad Sang Penyu di hadapan, sekali gus menghidupkan peluang meraih kemenangan penting.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan dengan beberapa serangan sempat dilancarkan, namun barisan pertahanan kedua-dua pasukan kekal berdisiplin sepanjang babak kedua.
Namun, bagi penyokong, keputusan itu sukar diterima kerana masing-masing kurang berpuas hati dengan persembahan Terengganu FC yang mensia-siakan beberapa peluang keemasan.
"Adakah yang beraksi pemain kelas amatur atau semi pro sahaja? Hantaran beberapa kali tidak menjadi, harapkan penalti sahaja pula tu. Susahlah begini," kata Shi.shito.
"Sedihlah dengan permainan Terengganu FC. Nasib baiklah dapat sepakan penalti, hantaran pun ke laut berkali-kali. Harapnya dapat tambah baik stamina bagi aksi akan datang," kata Bani Junior.
Tiga mata diraih di laman sendiri itu menyaksikan skuad Sang Penyu kini berada di kedudukan kedua Kumpulan A Piala Shopee dengan hanya satu aksi berbaki buat mereka.
Selepas ini, skuad Sang Penyu akan menerima kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi aksi Liga Super pada Sabtu sebelum beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Johor bagi pertembungan timbal balik Piala Malaysia enam hari kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram