BARU-BARU ini, kem Perak FC menerima khabar kurang gembira apabila kehilangan dua tonggak penting iaitu Jesper Nyholm dan Luka Milunovic yang meninggalkan pasukan.
Nyholm dan Milunovic masing-masing tiba di Perak pada pertengahan tahun 2023 untuk memperkuatkan benteng pertahanan dan jentera tengah skuad Seladang.
Bagaimanapun, jodoh Nyholm dan Milunovic kini tiba di penghujung apabila kontrak mereka bersama Perak tidak disambung dan bakal berakhir pada 31 Disember hadapan.
BACA LAGI: Menang bergaya ke semifinal, fans Gergasi Merah masih belum maafkan Ronnie
BACA LAGI: Hanya TMJ tahu apa yang terbaik, saya sayang Malaysia — Bergson
Nyholm meninggalkan Perak FC dengan kenangan manis sebagai salah seorang penjaring dalam pertemuan skuad Seladang menentang Sri Pahang. — Facebook/Perakfc
Oleh itu, aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2024 Perak berdepan Sri Pahang di Temerloh pada Ahad merupakan perlawanan terakhir buat Nyholm dan juga Milunovic bersama skuad Seladang sebelum kedua-duanya dilepaskan.
Meskipun begitu, ia bukanlah pengakhiran buat Nyholm untuk beraksi dalam liga domestik kerana dia masih berpeluang untuk menabur bakti bersama beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M).
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga kelab yang boleh dipertimbangkan oleh Nyholm sekiranya masih mahu beraksi dalam Liga M.
1. Sri Pahang FC
Bekas pemain pertahanan Perak FC, Nyholm memiliki beberapa kelebihan yang dapat memberi impak positif kepada Sri Pahang FC.
Dengan pengalaman yang dimiliki bersama skuad Seladang, dia dijangka mampu menguatkan barisan pertahanan dan memberi kestabilan dalam situasi tertekan.
Kekuatan fizikalnya yang kukuh terutamanya dalam perebutan bola di udara sangat penting untuk menangkis serangan lawan.
Bukan itu sahaja, pengetahuannya mengenai intensiti Liga M pastinya mampu memudahkan Nyholm untuk menyesuaikan diri dengan skuad Tok Gajah.
Dengan segala kelebihan ini, Nyholm dijangka dapat memperkukuhkan pertahanan Sri Pahang dan meningkatkan prestasi keseluruhan pasukan yang kini dibolosi 22 gol selepas 14 perlawanan Liga Super musim ini.
Nyholm tiba di Perak pada pertengahan tahun 2023 untuk memperkuatkan benteng pertahanan dan jentera tengah skuad Seladang. — Facebook/Perakfc
2. Penang FC
Nyholm juga berpeluang untuk kembali menabur bakti bersama pasukan berpangkalan di Utara, Penang FC.
Selain berpengalaman dalam Liga M, Nyholm juga pernah beraksi di pentas Asean mewakili Muangthong United dalam Liga Thailand 1 pada musim 2022/2023.
Pengalamannya di Liga Thailand itu dilihat boleh membantu memperkemaskan lagi corak permainan Penang yang kurang berkesan di bahagian pertahanan ketika ini.
Oleh itu, sebagai pemain pertahanan berpengalaman, Nyholm dijangka dapat memperkukuhkan barisan pertahanan Harimau Kumbang dan bergandingan dengan bek tengah mereka, Rafael Vitor.
Kehadiran Nyholm dalam pasukan Penang dilihat mampu membawa kepada perubahan drastik di bahagian pertahanan yang dibolosi 26 gol ketika ini saingan Liga Super.
3. Kuching City
Kuching City FC antara pasukan liga domestik yang kini mempamerkan corak permainan yang cukup mantap.
Skuad yang dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak itu mengejutkan penyokong tanah air dengan bangkit memperlihatkan taring mereka meskipun menjadi pasukan tercorot Liga Super musim lalu.
Oleh itu, ini merupakan peluang keemasan buat Nyholm untuk menunjukkan kemahiran taktikal dan pertahanan yang kukuh serta set-piece sekiranya dapat beraksi bersama The Cats.
Sepanjang menyarung jersi Perak, Nyholm telah mencatat 29 penampilan dan kehadirannya ke skuad The Cats dijangka memperkukuhkan pertahanan dan meningkatkan prestasi Kuching City. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram