Hilang 3 pemain bertemu JDT, fans Sang Penyu pasrah TFC sekadar capai semifinal Piala Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 21 Dis 2024

Kemenangan skuad Sang Penyu diulit rasa gusar daripada penyokong melihat kepada cabaran mereka selepas ini. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC akhirnya boleh melakar senyuman selepas mereka berjaya menyingkirkan Negeri Sembilan FC berikutan kemenangan 4-2 yang dicatatkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Sabtu.

Setelah ketinggalan kepada jaringan Hadin Azman dan A Selvan, skuad Sang Penyu bangkit mencetak empat jaringan dengan dua daripadanya hadir pada babak pertama menerusi Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

Pada babak kedua pula, tuan rumah menggandakan lagi serangan yang berhasil menghadiahkan dua lagi gol dengan Azam Azmi Murad dan Shahrul Nizam Ros Hasni masing-masing mencetak jaringan peribadi.

BACA LAGI: Dah tiba masa ganti Ifwat, KDA FC antara 3 kelab patut sambar Rahadiazli

BACA LAGI: Elak panaskan bangku simpanan, Rahadiazli dilepaskan TFC secara 'loan'

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Badrul Afzan Razali mara ke peringkat separuh akhir dengan agregat 6-2, namun ujian berat menanti kerana mereka akan bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pertembungan berkenaan sememangnya menjadi cabaran, lebih-lebih lagi kerana tiga pemain iaitu Safawi, Akhyar dan Azam Azmi tidak dapat diturunkan berdasarkan kontrak pinjaman masing-masing.

471280637_581901424551296_1217670101331424794_n

Safawi merupakan antara pemain yang tidak dapat diturunkan skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

"Satu cabaran buat Terengganu FC apabila berjumpa JDT nanti. Buktikan kemampuan tanpa Safawi, Akhyar dan Azam bahawa kita boleh beri tentangan sengit nanti. Tanpa tiga pemain pinjaman ini, rasanya Terengganu FC belum capai tahap tertinggi," kata Suziman Man.

"Tahniah Terengganu FC, tetapi JDT menunggu. Hanya boleh pejamkan mata sambil ketawa kalau JDT dapatkan gol nanti. Lawan tetap lawan Terengganu FC, hanya teruskan momentum," kata Badri Hisyam.

Dalam pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan, skuad Harimau Selatan meraih kemenangan 4-0 dalam pertemuan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor dengan Ubaidullah Shamsul Fazili dilayangkan kad merah.

Bagaimanapun, sikap terus berlawan sudah tentu akan diterapkan Terengganu FC yang mahu melangkah ke pentas separuh akhir Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram