PERTUKARAN lokasi menyaksikan Sri Pahang dibolosi tiga gol apabila tewas 1-3 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
Mengikut jadual asal, Sri Pahang akan beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, tetapi ia terpaksa dipindah ke SSI kerana faktor cuaca tidak menentu di Temerloh dan kemungkinan berlaku limpahan paras air Sungai Pahang.
Skuad kendalian Fandi Ahmad turun dengan taktikal 3-4-3 dan meletakkan trio Fadhli Shas, Stefano Brundo dan Nor Adam Azlin di bahagian pertahanan. Manakala, Hector Bidoglio pula menggunakan pendekatan 4-2-3-1.
BACA LAGI: Tak lagi berselindung, penyerang Albania siap sarung jersi JDT, calon terbaik ganti Obregon?
BACA LAGI: Rembatan jauh antara sebab KL City perlu bertahan bertemu JDT — Miroslav Kuljanac
Harimau Selatan yang sememangnya terkenal dengan permainan intensiti tinggi menunjukkan kebolehan mereka apabila menguasai 60 peratus permainan berbanding skuad Tok Gajah. Namun, tiada sebarang gol berhasil oleh JDT.
Terjahan penyerang sayap Tok Gajah, Ahapov pada minit ke-35 ke atas penyerang sayap kanan, Arif Aiman Hanapi memberi peluang kepada Harimau Selatan untuk mendapatkan sepakan percuma.
Bagaimanapun, peluang sepakan percuma itu tidak berhasil memberi kelebihan kepada JDT untuk mendapatkan gol pertama. Permainan babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan kembali ke bilik persalinan tanpa sebarang bekalan selesa.
Menjengah ruangan komen, penyokong Tok Gajah memuji disiplin pertahanan Sri Pahang. Manakala, segelintir 'pemain ke-12' JDT pula seolah-olah meletakkan kesalahan kepada dua pemain tengah mereka susulan tiada sebarang gol dicetak pada babak pertama.
"Afiq (Fazail) dan Nazmi (Faiz) penghancur permainan. Sudah boleh fikir hala tuju mereka ini," kata penyokong JDT, Angah Jaa.
"Tukarlah Afiq itu. Hancur dah dua permainan tengok dia main. Tidak perform," pendapat penyokong Harimau Selatan, Man JDT JDT.
Selepas tiga minit beraksi di separuh masa kedua, gawang Zarif Irfan dibolosi oleh rakan sendiri iaitu Adam apabila badannya terkena hantaran lencong dari pemain tengah JDT, Juan Muniz.
Selepas kesukaran dialaminya pada separuh masa pertama, Bergson da Silva akhirnya meledak gol pertama pada aksi itu selepas menerima hantaran dari Muniz pada minit ke-51 permainan.
Seminit kemudian, Sri Pahang memberi respons cukup pantas apabila pemain gantian Tok Gajah, David Rowley meledak gol pertama untuk Sri Pahang selepas menerima hantaran dari Ahapov.
Situasi membabitkan Arif Aiman Hanapi memberi Harimau Selatan sepakan penalti selepas penyerang sayap berkenaan dirempuh oleh pertahanan Tok Gajah, Aleksandar Cverkovic pada minit ke-92 permainan.
Sepakan penalti pada babak terakhir itu dimanfaatkan sebaiknya oleh Bergson apabila tenang menyudahkannya dan melengkapkan kemenangan Harimau Selatan pada aksi Liga Super di Iskandar Puteri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram