Penyokong Selangor 'puas' kutip 3 mata di Manjung selepas bas jadi mangsa vandalisme fans tuan rumah


  • Podium
  • Selasa, 17 Dis 2024

Antara aksi pasukan Perak dan Selangor dalam perlawanan Liga Super pada Selasa. — Perak FC

PERLAWANAN antara Perak FC dan Selangor FC mendapat perhatian ramai selepas sekian lama derbi 'El Clasico' Malaya dinanti-nantikan oleh penyokong bola sepak tanah air.

Selangor yang memburu kemenangan ketiga bersama Katsuhito Kinoshi pastinya mahukan tiga mata penuh di Stadium Manjung, Perak bagi memperkukuhkan kedudukan kedua dalam Liga Super 2024.

Manakala Perak pula yang turun tanpa tonggak utama seperti Luciano Guaycochea mengharapkan dapat bangkit daripada kekalahan lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Pengadil ditumbuk bertubi-tubi angkara penalti, polis Serdang buka kertas siasatan

BACA LAGI: SportExcel umum kerjasama dengan Saif Nordin, cungkil bakat baharu sukan lawan pedang negara

Pada minit ke-40, Selangor yang menurunkan Muhammad Faisal Halim berjaya membantu jentera serangan Gegrasi Merah menjaringkan gol menerusi tampanan Alvin Fortes.

Jaringan itu meletakkan Selangor di hadapan dengan keputusan 1-0 sebelum pengadil perlawanan meniupkan wisel tanda tamat separuh masa pertama.

Melihat persembahan 45 minit corak permainan Perak, penyokong-penyokong Sang Seladang tidak berpuas hati dengan taktikal yang digunakan oleh Yusri Che Lah.

"Yusri Che Lah ini entah apa yang dia 'train' hari-hari dengan pemain Perak ini. Nampak macam masing-masing sekadar bermain bola dan terima gaji hujung bulan," kata Alwi Syafi'i.

"Main bola hari-hari, tapi 'passing' pun merapu, yang dia tahu 'one two' dekat tepi padang. Luka (Milunovic) apa yang dimainnya?" soal Mohd Fikri.

"Lain kali 'training passing' dengan 'shooting' sahaja, beria 'training' berat-berat, 'passing' pun teruk lagi," jelas Muhammad Zaini.

Keputusan separuh masa pertama tamat dengan Selangor mendahului 1-0 hasil jaringan Alvin Fortes.

Bersambung babak kedua perlawanan, Perak cuba mengasak kubu pertahanan Selangor dalam misi untuk menyamakan kedudukan.

Namun begitu, Perak terus dirundung nasib malang selepas Selangor mengandakan kedudukan hasil jaringan kedua Alvin Fortes pada minit ke-71 permainan.

Perak yang ketinggalan dengan keputusan 0-2 itu terus berusaha untuk mencari jaringan sebelum Wan Zack Haikal berjaya menjaringkan gol pada minit ke-89.

Keputusan kekal 2-1 dengan Selangor berjaya mengutip tiga mata penuh untuk memberikan kedudukan selasa di tempat kedua Liga Super ketika ini.

Dengan kemenangan Selangor itu, penyokong-penyokong Gergasi Merah tampak berpuas hati selepas insiden bas pasukan pelawat menjadi mangsa vandalisme dipercayai dilakukan oleh penyokong tuan rumah.

Sebelum ini tular di media sosial, bas pasukan Selangor diconteng oleh pasukan pelawat.

"Alhamdulillah Selangor bawa pulang tiga mata penuh selepas bas Selangor diconteng penyokong Perak," kata Jalil Ismail.

"Teruskan berjalan, jangan peduli siapa-siapa yang 'gila' walau di mana sahaja," ujar Ulie Ramli.

"Terbaik Selangor dapat tiga mata berharga di Manjung," jelas Nizam Hairul.

Selepas ini Selangor akan melayani kunjungan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam aksi suku akhir kedua kejohanan Piala Cabaran 2024, manakala Perak pula akan bertandang ke Stadium Temerloh untuk bertemu Sri Pahang bagi perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2024 pada 22 Disember. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram