[VIDEO] 'Kita bersaudara', fans Borneo kesal saksikan insiden hangat lepas aksi Kuching-Sabah di Stadium Negeri


  • Podium
  • Isnin, 16 Dis 2024

Tangkap layar daripada rakaman pergaduhan antara pemain serta pihak kejurulatihan Sabah FC dan Kuching City FC selepas perlawanan.

ARENA bola sepak di Borneo tanah air sudah kembali meriah kerana pertembungan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Kuching City FC dan Sabah FC di Stadium Negeri, Sarawak pada Ahad lalu menarik kehadiran penyokong yang memberangsangkan.

Sambutan itu sememangnya sesuatu yang positif kerana sebelum ini, pertemuan dua pasukan dari kepulauan tersebut sukar menarik penonton kerana terdapat jurang besar antara satu sama lain.

Malah, kemeriahan tersebut turut dibuktikan di atas padang memandangkan kedua-dua kelab menampilkan aksi cemerlang, namun kemenangan berpihak kepada pasukan pelawat yang mencetak jaringan menerusi Farhan Roslan pada babak pertama.

BACA LAGI: Sabah FC lantik jurulatih Slovakia ganti Ong Kim Swee

BACA LAGI: Bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, Pak Karim kini buka kafe di Sabah

470221358_991828059650552_2369500326918666213_n

Pertemuan 'Derby Borneo' cukup hangat disaksikan pada Ahad lalu. Facebook/Sabah FC

Bagaimanapun, perlawanan sengit berkenaan dicemari penutup tidak diingini apabila tercetusnya kehangatan antara pihak kejurulatihan kedua-dua pasukan di tepi padang.

Dalam video tular di media sosial, kelihatan pergaduhan mulut antara beberapa individu daripada Sabah FC dan Kuching City FC di tepi padang yang masih belum dipastikan punca sebenar kejadian.

Insiden sedemikian menerima pelbagai respons daripada peminat bola sepak tanah air yang mula menyedari bahawa 'Derby Borneo' mempunyai nilai dan tarikan tersendiri.

Namun, bagi penyokong kedua-dua kelab dari rantau terbabit, mereka beranggapan kekecohan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana tidak mahu sukan bola sepak menjadi batu perpecahan antara satu sama lain.

"Tak perlu dilagakan lagi kerana kita tidak tahu hal sebenar, lebih baik tengok dan diam sahaja. Jangan kasi dua-dua pihak lebih panas, risau lain pula jadinya dan tidak perlu cipta spekulasi sendiri.

"Jangan api-apikan bara yang masih menyala kerana jika terjadi sesuatu yang lebih buruk, siapa mahu dipersalahkan? Bola menyatukan kita, satu Borneo sepatutnya bersatu hati dan ingatlah, bertelagah bukanlah cara terbaik," kata Urang Laki Gap.

"Kita minta penjelasan daripada pihak pengurusan Sabah FC untuk tahu apa yang berlaku. Kita tidak mahu perkara sebegini berlaku di Stadium Likas nanti," kata Laimin Nasrun.

"Lepas main, kalah atau menang, terima sahajalah dengan hati terbuka. Janganlah lakukan provokasi daripada mana-mana pasukan. Gaduh pun tiada untung, kita-kita (kenalan) juga kan," kata Sharf Moss.

Sejak Kuching City FC diperkenalkan dalam arena bola sepak tanah air, ini merupakan pergaduhan paling hangat antara mereka kerana masing-masing sudah mampu memberikan saingan ketika ini.

Melihat kepada carta Liga Super, skuad Sang Badak kini menduduki tangga ketiga sementara 'jiran' mereka itu berada di tangga kelima dengan kedua-dua pasukan tersebut masih berpeluang untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2024/25. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram