Sabah FC lantik jurulatih Slovakia ganti Ong Kim Swee


  • Podium
  • Selasa, 10 Dis 2024

Stano (tengah) pernah berkhidmat bersama skuad Malaysia B-23 dan skuad kebangsaan.

SELEPAS sekian lama menunggu jawapan daripada pihak pengurusan, kini penyokong Sabah FC boleh menarik nafas lega apabila Sang Badak telah membuat keputusan untuk melantik jurulatih Slovakia, Martin Stano bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee.

Sebelum ini, Sabah menerima tamparan hebat selepas pemergian Kim Swee yang menamatkan tugas dan berhijrah ke Liga 1 Indonesia untuk bersama Persis Solo.

Kekosongan itu digalas oleh pembantu jurulatih, Alto Linus dan bekas pemain Sabah itu berjaya membawa Sang Badak memenangi dua perlawanan dengan cemerlang.

BACA LAGI: [VIDEO] Tonggak utama Peterborough United dakwa ada pertalian darah dari Pulau Pinang

BACA LAGI: Tak pergi Indonesia, Man United pilih Malaysia sebagai destinasi pra-musim

Namun begitu, pihak pengurusan menamatkan teka teki apabila melantik Martin yang juga merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan Kim Swee di Sabah.

"Sabah FC hari ini (Selasa) mengumumkan Martin Stano pemegang Lesen Pro dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu dengan dibantu Penolong Jurulatih, Alto Linus manakala Muhamadin Abdul Ajid daripada pasukan Sabah FC ll menjadi Jurulatih Kecergasan Sabah FC sehingga tamat musim 2024/2025.

"Sebelum ini, Alto Linus dilantik sebagai Ketua Jurulatih 'interim' bersama-sama Martin Stano sebagai Penolong Jurulatih 'interim' merangkap Jurulatih Kecergasan.

Pelantikan ini bagi memastikan Sabah dapat mempersiapkan pasukan dengan lebih baik menjelang aksi akan datang.

"Pelantikan ini diambil daripada barisan kejurulatihan sedia ada bagi memastikan momentum kemenangan serta pendekatan pasukan seperti latihan, taktikal, metodologi dan analisis video dapat diteruskan dan tidak menjejaskan prestasi pasukan.

"Untuk makluman, MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) memberikan tempoh sehingga 10 Disember untuk Sabah FC melantik Ketua Jurulatih baharu yang memiliki Lesen Pro,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurulatih kecergasan berusia 47 tahun itu pernah berkhidmat bersama skuad Malaysia B-23 dan skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram