Jaga lisan, mendoakan suami saya lumpuh adalah melampau — Eyra Hazali


  • Podium
  • Ahad, 15 Dis 2024

Eyra meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir penyokong bola sepak memaki suaminya, Haziq (kiri) selepas aksi perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric Asean bertemu Thailand di Bangkok pada Sabtu.

ISTERI kepada penjaga gol Harimau Malaya, Haziq Nadzli iaitu Eyra Hazali meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir penyokong bola sepak memaki suaminya selepas aksi perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric Asean bertemu Thailand di Bangkok pada Sabtu.

Dalam perlawanan tersebut, Haziq melakukan kesilapan mudah sehingga pasukan skuad kebangsaan terpaksa akur kalah 1-0 di tangan negara dengan julukan Gajah Putih itu.

Tindakan Haziq yang gagal menyedari kehadiran Suphanat Muaenta ketika melakukan hantaran dengan tonggak skuad Gajah Perang itu yang kemudiannya melorongkan bola kepada Patrik Gustavsson untuk gol tunggal perlawanan.

BACA LAGI : [VIDEO] Lepas saksikan kekalahan di tangan Thailand, penyokong HM 'terkurung' di Stadium Rajamangala

BACA LAGI : 'Dah macam Onana', kesilapan Haziq Nadzli ranapkan peluang HM di bumi Thai

Ekoran itu, penjaga Perak FC itu menerima kecaman hebat sehinggakan ada penyokong yang gagal mengawal emosi meninggalkan kata-kata kesat dan mendoakan keburukan Haziq.

Enggan berdiam diri melihat suaminya dikecam, Eyra memuat naik satu hantaran di InstaStory di Instagram miliknya meminta penyokong menjaga lisan dan komen mereka di media sosial.

Katanya, kata-kata melampau hingga mendoakan Haziq Nadzli lumpuh dan melibatkan anak-anak mereka merupakan hinaan yang tidak boleh diterima.

"Caci makian yang anda lemparkan, kami boleh terima. Tapi hinaan, mendoakan suami saya lumpuh dan melibatkan anak-anak kami adalah melampau.

"Saya berdoa semoga doa-doa itu tidak berbalik pada anda dan keluarga. Dan kami sentiasa ada untuk Haziq. Jaga Lisan," katanya pada Sabtu.

2941387

Eyra mendirikan rumah tangga dengan Haziq pada 1 November 2019 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki.

Terdahulu, Majoriti melaporkan perlawanan yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand itu turut dicemari insiden ratusan penyokong Malaysia terkurung dan tidak dapat meninggalkan kawasan itu selama beberapa jam.

Kejadian itu berlaku selepas berlakunya kekecohan di luar stadium yang berpunca daripada ketengangan antara penyokong kedua-dua pasukan yang menyebabkan pihak keselamatan terpaksa campur tangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram